Education

Pemantapan usahawan siswazah melalui fasa akhir Program Inkubator S-Cube@UUM di INDES 2025

Gambar CEDI

SERI ISKANDAR, 1 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengorak langkah dalam memartabatkan pendidikan keusahawanan apabila seramai 15 usahawan siswazah mewakili 13 buah perniagaan menyertai Fasa 4: Growth bagi Program Inkubator Perniagaan S-Cube@UUM 2023/2024.

Program di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) ini dilaksanakan melalui Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) dengan menyertai Pertandingan Inovasi INDES 2025: The 14th International Invention, Innovation & Design Competition anjuran UiTM Cawangan Perak.

Fasa terakhir ini memberi penekanan kepada pemantapan model perniagaan berasaskan inovasi dan teknologi serta pembangunan kemahiran pitching secara profesional kepada pelabur dan pihak berkepentingan.

UUM telah bertanding dalam Kategori Profesional B iaitu Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA) di bawah tiga tema utama yang dipertandingkan iaitu Social Science & Entrepreneurship, Design & Creativity, dan Science, Engineering & Technology.

Dalam pertandingan tersebut, pelajar UUM telah mencatat pencapaian yang membanggakan iaitu Syarifah Majdina Syed Ismail melalui produk Carrot Smooth Hair Treatment telah memenangi tempat ketiga dalam Pertandingan Pitching Kategori Profesional (IPTA), manakala anugerah pingat emas bagi tema Social Science & Entrepreneurship dimenangi oleh perniagaan Minuum yang diusahakan oleh Muhammad Muaz Lutfi Zulkifli.

Pencapaian ini membuktikan daya saing usahawan siswazah UUM dalam menghasilkan produk dan perkhidmatan inovatif yang relevan dengan keperluan pasaran serta berpotensi untuk dikembangkan secara komersial.

Timbalan Pengarah CEDI, Dr. Saiful Azizi Ismail berkata, fasa Growth ini merupakan platform strategik bagi peserta mengaplikasikan segala ilmu keusahawanan yang dipelajari sebelum ini dalam suasana sebenar dunia perniagaan.

Menurutnya, ia juga memberi nilai tambah melalui kolaborasi dengan alumni, rakan industri dan agensi dengan menyertai program pameran dan pertandingan inovasi seperti yang disertai kali ini.

Peserta program telah dibimbing secara intensif oleh tiga mentor akademik yang dilantik iaitu Dr. Maliani Mohamad, Dr. Mohd Fodli Hamzah dan Dr. Muhamad Ali Imran Kamarudin.

Fokus utama bimbingan adalah kepada penyediaan pelan pertumbuhan perniagaan, strategi go-to-market dan penguasaan kemahiran komunikasi dalam sesi pitching kompetitif.

Pelaksanaan fasa ini turut menyumbang kepada pencapaian Petunjuk Prestasi Utama (KPI) universiti di bawah Teras 6, merangkumi pembangunan start-up, integrasi teknologi dalam keusahawanan serta pengukuhan jaringan kolaborasi strategik dengan agensi pembiaya dan industri.

Usaha ini dilihat sebagai platform strategik untuk memperkukuh ekosistem keusahawanan siswazah, meningkatkan keterlihatan UUM dalam landskap inovasi nasional serta menyumbang kepada pembangunan negara berasaskan pengetahuan dan keusahawanan. – Syariza Hani Ariffin

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button