Pelajar Komunikasi Strategik UUM jayakan Projek SULAM bersama komuniti peniaga Daerah Kubang Pasu
Gambar SMMTC
KUBANG PASU, 2 Julai 2025: Seramai 82 pelajar daripada kursus Pengurusan Komunikasi Strategik (SCCAK3013) Universiti Utara Malaysia (UUM) telah melaksanakan projek Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM), sebagai sebahagian daripada agenda untuk SMMTC Exhibition Week 2025.
Program ini berlangsung di Pusat Pengajian Teknologi Multimedia dan Komunikasi (SMMTC) dan dikendalikan oleh dua pensyarah berpengalaman, Nuredayu Omar dan Prof. Dr. Norhafezah Yusof.
Dr. Norhafezah berkata, pelajar yang terdiri daripada dua kelas (A dan B) telah dibahagikan kepada 19 kumpulan, dan setiap kumpulan telah menjalinkan kerjasama strategik dengan komuniti peniaga Daerah Kubang Pasu.
Menurutnya, melalui pendekatan SULAM, pelajar bukan sahaja mempraktikkan pengetahuan akademik, tetapi turut memberi sumbangan langsung kepada masyarakat setempat.
“Program ini bertujuan untuk menggabungkan pembelajaran akademik dengan khidmat masyarakat, selaras dengan prinsip SULAM yang mendorong pembelajaran secara berimpak tinggi.
“Pelajar telah melaksanakan pelbagai inisiatif komunikasi dalam usaha meningkatkan imej, strategi promosi dan capaian digital perniagaan-perniagaan yang mereka bantu,” katanya.
Sementara itu, Pengusaha Nana Nasi Kandar, Mohd Zahir Abdul Hajees berkata, projek ini telah banyak membantu perniagaannya dan peniaga-peniaga di sekitar Changlun.
Katanya, melalui projek ini banyak perkara positif yang telah diperolehi dan dia amat berterima kasih kepada pelajar jurusan komunikasi Universiti Utara Malaysia ini kerana sudi membantu mereka.
Projek kolaboratif ini dilaksanakan sepanjang satu semester, di mana hasil kerja setiap kumpulan telah dibentangkan pada hari program kemuncak, dengan sesi penilaian dijalankan oleh panel pensyarah dan wakil pengusaha PKS yang terlibat.
Salah seorang pelajar daripada kumpulan HAIA Consultant, Aminatul Atieqah Nor Azimi telah diumumkan sebagai pemenang anugerah tempat pertama
“Projek SULAM ini bantu mendedahkan saya tentang bagaimana merangka pelan komunikasi yang strategik serta membantu membentuk kedisiplinan dalam diri dalam aspek pengurusan masa,” katanya.
Menurutnya, pengalaman ini sangat bermakna kerana ia membolehkan pelajar belajar terus daripada dunia sebenar dan memberi impak positif kepada komuniti setempat.
Katanya, program ini bukan sahaja memperkukuhkan kemahiran insaniah dan profesional pelajar, malah membuka ruang jaringan industri antara UUM dan komuniti peniaga tempatan. – Naveena Uthaya Kumar, Nur Anissyazwani Mohd Noor, Saidatul Shazmeen Suhaimi dan Nurul Syafikah Azwani Shamsudin (Pelajar SMMTC)