SULAM beri pendedahan tentang aspek perancangan kewangan kepada pelajar SMK Bandar Bukit Kayu Hitam
Berita dan gambar Dr. Muhammad Abrar Bahaman
BUKIT KAYU HITAM, 3 Julai 2025: Seramai 51 pelajar Tingkatan 4 daripada Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Bukit Kayu Hitam telah menyertai program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) bertemakan “Talk: From Wealth to Welfare”, baru-baru ini.
Projek SULAM: Talk – From Wealth to Welfare merupakan satu inisiatif yang dijalankan dengan tujuan untuk memberi pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah mengenai aspek perancangan kewangan yang berlandaskan prinsip-prinsip Islam, terutamanya dalam topik zakat dan takaful.
Pensyarah kursus, Dr. Muhammad Abrar Bahaman berkata, projek ini telah berjaya dilaksanakan dengan kerjasama seramai 13 pelajar, iaitu 12 daripada kursus Seminar in Islamic Finance and Banking serta seorang pelajar dari kursus Shariah and Islamic Financial Planning.
Program ini telah mendapat tajaan berjumlah RM1,000 daripada Dana STF, yang telah digunakan bagi menampung kos penganjuran seperti bahan edaran, hadiah aktiviti, dan logistik asas. Sepanjang program berlangsung, pelbagai pengisian seperti taklimat, kuiz interaktif dan permainan pendidikan telah dijalankan bagi memastikan peserta mendapat kefahaman dengan cara yang menyeronokkan.
Pelajar sekolah menyatakan bahawa mereka dapat menambah ilmu pengetahuan berkaitan zakat dan takaful, yang sebelum ini kurang difahami. Tambahan pula, aktiviti permainan yang dijalankan berjaya mengeratkan hubungan (bonding time) antara peserta dan fasilitator serta memupuk semangat kerjasama dalam kalangan mereka.
Secara keseluruhan, program ini bukan sahaja memberi manfaat kepada pelajar sekolah sebagai penerima ilmu, malah turut memperkukuh kemahiran komunikasi, kerjasama dan pengurusan dalam kalangan pelajar universiti yang terlibat.