Education

Program Pemerkasaan Pengurusan Kewangan Tahfiz berjaya tinggalkan impak positif

Berita dan gambar Dr. Mohamamd Zulkurnai Ghazali

SINTOK, 3 Julai 2025: Dua hari penuh yang diisi dengan ilmu dan inspirasi telah berlangsung di EDC UUM menerusi Program Pemerkasaan Pengurusan Kewangan dan Tadbir Urus Institusi Tahfiz.

Program anjuran bersama antara Pusat Pengajian Tunku Puteri Intan Safinaz (TISSA), Universiti Utara Malaysia (UUM), dan Jabatan Hal Ehwal Islam Kedah (JHEAIK) berjaya menyatukan 19 peserta yang merupakan mudir atau pentadbir kepada 11 pusat tahfiz dari daerah Kubang Pasu dan Kota Setar dalam usaha memperkukuh pengurusan kewangan serta memastikan tadbir urus yang telus dan berkesan.

Pensyarah Kanan TISSA, Noor Asma Jamaluddin berkata, program ini bertujuan meningkatkan kecekapan pengurusan kewangan di institusi tahfiz dan madrasah, sekali gus mencegah sebarang bentuk salah laku atau ketidaktelusan.

Dikendalikan oleh sekumpulan pakar dari TISSA yang memiliki pengalaman lebih 20 tahun dalam bidang perakaunan, kursus ini menghidangkan pelbagai ilmu praktikal yang boleh diamalkan untuk memastikan rekod kewangan diurus dengan cemerlang.

Satu detik bermakna dalam program ini adalah penyerahan 12 unit komputer riba oleh JHEAIK kepada setiap pusat tahfiz dan madrasah yang menyertai kursus. komputer riba ini lengkap dengan perisian pengurusan kewangan, diharapkan dapat memudahkan proses perekodan dan urus niaga secara sistematik.

Majlis penyerahan disempurnakan oleh Ketua Penolong Pengarah (Pendidikan), JHEIK, Sheikh Hasbullah Md Mukhtar diiringi wakil Dekan TISSA, Dr. Mohd Hisham Mohd Sharif.

Seorang peserta, Rokiah Abdullah berkata, kursus ini memberi penjelasan tentang elemen akaun dan pengklasifikasian yang sangat memudahkan mereka untuk memahami perkara yang sebelum ini terasa rumit.

“Gaya penyampaian yang mesra dan teratur oleh pensyarah TISSA berjaya menjadikan topik yang kompleks mudah difahami, meninggalkan kesan mendalam kepada peserta,” katanya.

Program yang menerima dana Skim Geran Inovasi Sosial (SIGS) dari Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) membuktikan bahawa intervensi kemasyarakatan seperti ini mampu mencetuskan perubahan positif yang berkekalan.

Program ini bukan sekadar kursus, tetapi satu langkah ke arah memastikan institusi tahfiz di Kubang Pasu dan Kota Setar mampu beroperasi dengan lebih telus dan efisien. Dengan ilmu baharu dan sokongan teknologi, para peserta kini lebih bersedia untuk mengurus kewangan dengan penuh integriti, selari dengan matlamat jangka panjang program ini.

Inisiatif ini menjadi bukti komitmen UUM melalui TISSA, dalam memperkasakan komuniti tempatan. Dengan kerjasama pelbagai pihak seperti JHEAIK, Persatuan Maahad Tahfiz Negeri Kedah Darul Aman (PETANDA) dan CUIC, program ini telah meninggalkan legasi yang memberi manfaat bukan sahaja kepada institusi tahfiz, tetapi juga kepada masyarakat secara keseluruhan.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button