Pelajar SOG bereksperimen secara kreatif melalui penghasilan video
Gambar Nurul Ain Aisyah Rusli
LANGKAWI, 3 Julai 2025: Suasana Pantai Cenang hari ini dimeriahkan dengan pelaksanaan Program Community Service anjuran Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Akademi Kenegaraan Malaysia, yang berkonsepkan kenegaraan dan diterjemahkan melalui aktiviti sosial eksperimen secara kreatif oleh para peserta.
Program ini telah menghimpunkan pelajar SOG yang dibahagikan kepada lapan kumpulan, masing-masing bertanggungjawab menghasilkan video sosial eksperimen bertemakan kenegaraan. Aktiviti dijalankan secara langsung di sekitar kawasan tumpuan pelancong Pantai Cenang, menjadikannya lokasi strategik untuk interaksi bersama masyarakat setempat dan pelancong tempatan mahupun antarabangsa.
Antara mesej utama yang diketengahkan dalam eksperimen ini termasuklah semangat perpaduan, toleransi kaum, tanggungjawab sivik, kepentingan Rukun Negara dan kesedaran terhadap nilai jati diri sebagai warganegara Malaysia. Setiap kumpulan bebas mengekspresikan mesej kenegaraan mereka dengan pendekatan kreatif, seperti lakonan spontan, interaksi terbuka dengan pengunjung, dan penglibatan komuniti secara langsung.
Pengarah Program Muhammad Harith Haikal selaku Timbalan Exco Perhubungan Komuniti dan Kebajikan Persatuan Pengurusan Pembangunan berkata, aktiviti ini bukan sahaja menguji kreativiti dan daya kepimpinan pelajar, tetapi juga berupaya menyampaikan mesej kenegaraan secara berkesan kepada masyarakat.
“Pendekatan sosial eksperimen ini memberi ruang kepada peserta untuk menyelami sendiri reaksi masyarakat terhadap nilai-nilai kenegaraan, sekali gus menanamkan kesedaran yang mendalam dalam kalangan pelajar dan komuniti.
“Antara faedah utama yang diperoleh peserta termasuklah peningkatan dalam kemahiran komunikasi, pemikiran kritikal, kerja berpasukan serta kefahaman yang lebih mendalam terhadap cabaran memupuk identiti kebangsaan dalam masyarakat majmuk,” katanya.
Aktiviti ini turut memberi impak positif kepada masyarakat apabila ramai pengunjung menunjukkan keterujaan dan memberi maklum balas positif terhadap mesej yang dibawa oleh peserta.
Program ini dilihat sebagai inisiatif berkesan dalam mendidik generasi muda mengenai peranan mereka sebagai pemangkin perpaduan dan pembina negara. Ia juga sejajar dengan usaha Akademi Kenegaraan Malaysia dalam memperkukuh nilai patriotisme dalam kalangan belia dan mahasiswa melalui pendekatan lapangan yang lebih segar dan interaktif.
Program ini berakhir dengan sesi tayangan video ringkas oleh setiap kumpulan serta refleksi pengalaman oleh peserta, menjadikan kenangan di Pantai Cenang bukan sekadar aktiviti biasa, tetapi satu pengalaman pembelajaran yang bermakna dalam memartabatkan semangat kenegaraan. – Nurul Afrina Nabilah Abdul Hakim