UUM-KEDA lahirkan komuniti cekap urus resipi dan kos
Berita dan gambar Norhafizi Nordin
SINTOK, 4 Julai 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan kerjasama Lembaga Kemajuan Wilayah Kedah (KEDA) telah menganjurkan Latihan Resipi Standard dan Kawalan Kos Makanan melibatkan 10 peserta dari tiga komuniti tempatan di Padang Terap, iaitu Kampung Kubang Palas, Kampung KEDA Bukit Ular dan Kampung Seberang.
Program ini merupakan lanjutan daripada kejayaan penghasilan produk retort “Gulai Daging Rias Pisang” oleh komuniti berkenaan di bawah pembiayaan Social Innovation Grant Scheme (SIGS) UUM 2024.
Latihan memberi tumpuan kepada pemantapan dokumentasi resipi warisan serta pengurusan kos makanan secara sistematik untuk meningkatkan kualiti dan daya saing produk.
Pengarah Program, Norhafizi Nordin berkata, latihan ini merupakan inisiatif berterusan pihak universiti dalam meningkatkan kapasiti komuniti melalui pemindahan ilmu yang relevan.
“Latihan ini bukan sahaja membantu peserta menghasilkan produk yang konsisten dan berkualiti, malah memberi pendedahan tentang kepentingan pengurusan kewangan dalam pengeluaran makanan berasaskan warisan tempatan,” katanya.
Salah seorang peserta, Saidin menyifatkan latihan ini sebagai sangat bermanfaat dalam membangunkan resipi standard yang dapat menjamin mutu serta ketahanan produk untuk pasaran yang lebih luas.
Latihan dikendalikan oleh barisan pensyarah berpengalaman iaitu Umme Umaimah Amin dan Siti Aminah Hasbullah dari STHEM serta Dr. Nadzirah Mohd Said dari TISSA UUM.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dekan STHEM, Prof. Madya Dr. Johan Afendi, yang menegaskan kepentingan usaha mendokumentasikan resipi tradisional negeri Kedah agar dapat dikomersialkan secara lebih meluas.
Turut hadir, Pengerusi JKKPK Kampung Kubang Palas, Abdul Ibrahim.