Education

UUM LEADS pacu inovasi pendidikan Huffaz melalui Geran Penyelidikan Strategik

Berita dan gambar Nur Syafiqah Huda Mohd Rashidi

SINTOK, 4 Julai 2025: Membuka lembaran baharu dalam kalendar Hijrah, UUM LEADS, sebuah entiti di bawah UUM Holdings Sdn. Bhd., telah menganjurkan Majlis Penyerahan Surat Persetujuan Konsultansi Geran Penyelidikan Kerjasama Penggerak Huffaz Berkemahiran, semalam.

Majlis yang diadakan di Bilik Mesyuarat UUM LEADS, menandakan komitmen berterusan UUM dalam mengangkat martabat pendidikan Islam dan modal insan negara.

Majlis ini diserikan dengan kehadiran Pengerusi Penggerak Huffaz Berkemahiran, Dato’ Ahmad Tajudin Jab bersama isteri, Datin Nilawati Yaacob.

Pengurus Besar UUM LEADS, Prof. Madya Dr. Mohd Sobri Don berkata, geran penyelidikan ini memberi fokus utama kepada Penilaian Impak Integrasi Pendidikan Teknikal dan Vokasional (TVET) dalam Institusi Tahfiz di Malaysia.

Projek penyelidikan ini adalah satu langkah proaktif untuk menilai sejauh mana modul TVET yang diperkenalkan oleh Pertubuhan Penggerak Huffaz Berkemahiran Selangor memberi impak positif kepada kebolehpasaran (employability) graduan tahfiz.

Sementara itu, Ketua Penyelidik, Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad berkata, objektif utama penyelidikan ini adalah untuk menilai keberkesanan modul TVET, sumbangannya kepada kebolehpasaran graduan, serta strategi untuk memperkukuhkan pembangunan kurikulum yang mengimbangi ilmu spiritual dan kemahiran teknikal.

menurutnya, hasil kajian dijangka akan menyumbang kepada formulasi rangka kerja TVET-Tahfiz bersepadu dan cadangan dasar untuk pembaharuan kurikulum nasional.

“Ini amat signifikan dalam usaha menghasilkan generasi huffaz yang bukan sahaja mantap hafazan al-Quran, tetapi juga dilengkapi dengan kemahiran praktikal yang relevan dengan pasaran kerja, sekali gus meningkatkan mobiliti sosio-ekonomi mereka,” katanya.

Majlis penyerahan surat persetujuan ini pada awal Muharam ini menjadi simbolik kepada azam dan semangat baharu dalam memacu kecemerlangan pendidikan.

UUM LEADS komited untuk terus menjadi peneraju dalam menyediakan penyelesaian konsultansi dan penyelidikan yang berimpak tinggi, menyokong aspirasi negara dalam membina modal insan yang holistik dan berdaya saing.

Turut hadir ialah Mawardi Nayan dan Radin Mas Abd Rah, kedua-duanya Aktivis Penggerak Huffaz, yang telah banyak menyumbang dalam memacu inisiatif ini.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button