Charity Homeless X Exploring MAIWP laksana Misi Keprihatinan dan Pembelajaran Lapangan
Berita dan gambar Harraz Irfan Mohd Shahriman
KUALA LUMPUR, 4 Julai 2025: Seramai 35 pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Muamalat dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai program Charity Homeless X Exploring MAIWP yang berlangsung selama dua hari bermula 12 hingga 13 Jun lalu di sekitar Kuala Lumpur.
Pengarah Program, Harraz Irfan Mohd Shahriman berkata, program anjuran Kelab Pentadbiran Muamalat (MUADS) ini bertujuan untuk memberi pendedahan praktikal kepada pelajar mengenai pengurusan zakat dan waqf oleh institusi agama, di samping memupuk semangat kesukarelawanan serta nilai empati terhadap golongan kurang bernasib baik.
Menurutnya, ia juga menyokong aspirasi pendidikan berkualiti selaras dengan Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4).
“Program ini bukan sekadar aktiviti luar bilik kuliah tetapi menjadi wadah latihan kepimpinan dan pembinaan sahsiah pelajar.
“Kami bukan hanya belajar tentang zakat dan waqf secara teori, tetapi dapat melihat dan terlibat terus dalam pelaksanaannya,” katanya.
Sementara itu, Penasihat Kelab MUADS, Dr. Muhamad Fikri Aziz berkata, program seperti ini perlu diberi perhatian lebih serta ia juga turut menunjukkan usaha Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS) UUM dalam menyokong pembangunan pelajar dari segi akademik, sahsiah dan tanggungjawab sosial, sekali gus melahirkan graduan berilmu, beretika dan peka terhadap isu kemasyarakatan.
Antara pengisian utama program termasuklah lawatan ke ibu pejabat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) di Menara MAIWP, Kuala Lumpur. Dalam sesi tersebut, pelajar diberi taklimat berkaitan fungsi dan peranan MAIWP dalam pengurusan dana awam Islam serta pelaksanaan program kebajikan untuk masyarakat bandar. Pelajar juga berpeluang mengajukan soalan secara langsung dan melihat sendiri aplikasi teori yang telah dipelajari dalam kursus Pengurusan Baitul Mal, Waqf dan Zakat.
Menariknya, pada sesi petang hari yang sama, peserta turut terlibat dalam aktiviti agihan makanan kepada golongan gelandangan di kawasan Chow Kit dengan kerjasama NGO tempatan, Food4U. Pengalaman ini telah memberi impak besar kepada peserta yang menyifatkannya sebagai pengalaman menyentuh hati dan membuka mata terhadap realiti kehidupan masyarakat marhaen.
Program ini berjaya dilaksanakan dengan kerjasama erat antara pelajar, MAIWP, NGO Food4U dan para penasihat akademik.