Education

IPIZ UUM sertai Muzakarah Kewangan Sosial Islam 2025 di UniSZA

Berita dan gambar Ahmad Khalidi Abdul Halim

KUALA TERENGGANU, 7 Julai 2025: Wakil dari Institut Penyelidikan dan Inovasi Zakat (IPIZ), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Muzakarah Kewangan Sosial Islam 2025 anjuran Pusat Penyelidikan Kewangan Sosial Islam (ISF), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) di Dewan Auditorium Al-Zahrawi, Hospital Sultan Zainal Abidin (HoSZA).

Dengan tema “Era Baharu Zakat: Transformasi Asnaf dan Kelestarian Dana”, muzakarah ini menghimpunkan pakar akademik, institusi zakat, agensi kewangan Islam serta pemain industri untuk membincangkan cabaran semasa serta solusi masa depan dalam pengurusan dana zakat dan pembangunan komuniti asnaf.

IPIZ diwakili oleh Timbalan Pengarah IPIZ, Dr. Mohd Murshidi Mohd Noor; Felo IPIZ, Dr. Alias Mat Nor dan Ahmad Khalidi Abdul Halim.

Majlis dimulakan dengan ketibaan Naib Canselor UniSZA, Prof. Dato’ Dr. Fadzli Adam, disusuli bacaan doa sebagai pembuka majlis.

Pengarah ISF, Prof. Madya Dr. Muhammad Shahrul Ifwat Ishak kemudiannya menyampaikan ucapan alu-aluan yang mengangkat pentingnya pendekatan kolaboratif dan inovatif dalam memacu sistem kewangan sosial Islam yang lebih responsif.

Program seterusnya dirasmikan oleh Naib Canselor UniSZA yang turut melancarkan buku Pengenalan Kewangan Sosial Islam”, hasil penerbitan terbaharu ISF.

Muzakarah diteruskan dengan sesi ucaptama yang disampaikan oleh dua tokoh utama dalam bidang zakat dan kewangan sosial, iaitu Prof. Madya Dr. Muhammad Shahrul Ifwat Ishak dan Ketua Pegawai Eksekutif Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Terengganu (MAIDAM), Dato’ Prof. Madya Dr. Ahmad Azrin Adnan. Kedua-dua penceramah memberi penekanan terhadap keperluan mendesak untuk menyesuaikan sistem agihan zakat dengan keperluan semasa asnaf, selain pentingnya transformasi digital dan kerjasama antara sektor awam dan swasta.

Sesi pertama muzakarah bertemakan “Inovasi Baharu untuk Transformasi Asnaf”, yang dimoderatorkan oleh Shaira Yusoff dari Al-Rajhi Bank Malaysia. Dalam sesi ini, dua pembentangan telah disampaikan oleh Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Zakat Negeri Kedah, Dr. Mohd Faisal Mustaffa, dan Pengarah Pembangunan Perniagaan dan Inisiatif Korporat dari CIMB Islamic Banking Group, Mohd Zaid Othman. Kedua-dua pembentang berkongsi pendekatan baharu dalam memperkasa ekonomi asnaf melalui platform keusahawanan, inisiatif kewangan Islam berstruktur serta kerjasama institusi kewangan dengan pihak pengurusan zakat.

Sesi ini turut diperkuat dengan ulasan kritikal oleh Felo Penyelidik ISF UniSZA, Dr. Nooramira Ghazali yang menyoroti aspek cabaran pelaksanaan inovasi di peringkat akar umbi serta potensi integrasi teknologi dalam program asnaf.

Sesi kedua pula menampilkan tajuk “Inovasi Baharu untuk Kemampanan Dana Zakat” yang dipengerusikan oleh Dr. Habibah Solehah Ramli dari UniSZA. Antara pembentang dalam sesi ini ialah Pengurus Besar Kanan merangkap Ketua Jabatan Syariah Co-opbank Pertama, Mohd Fazli Masri serta Ketua Pegawai Eksekutif Sharlife Sdn. Bhd., Muhammad Arham Munir Merican Amir Feisal Merican.

Pembentang membincangkan kaedah inovatif seperti pelaburan patuh syariah, dana berputar, dan penyertaan institusi kewangan dalam memperkukuh sumber zakat untuk jangka panjang. Eksekutif Kanan dari Unit Syariah dan Antarabangsa Pusat Pungutan Zakat MAIWP, Muhammad Furqan Abdullah, turut tampil sebagai pembahas, memberikan perspektif perundangan dan pelaksanaan bagi menjamin kepatuhan syariah serta ketelusan pengurusan dana.

Program muzakarah diakhiri dengan sesi bergambar dan minum petang, menandakan penutup yang harmoni kepada satu hari penuh perbincangan strategik, ilmu dan rangkaian profesional.

Dr. Mohd Murshidi menyifatkan penyertaan dalam muzakarah ini sebagai satu langkah penting dalam memperkukuh penyelidikan dan jaringan kerjasama antara universiti, institusi zakat dan agensi kewangan Islam.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button