UUM perkukuh jalinan antarabangsa bersama Navoi State University, Uzbekistan
Gambar Shamsaimi Ezil
SINTOK, 7 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) terus melangkah ke hadapan dalam memperkukuhkan jaringan antarabangsa apabila menerima kunjungan seramai 22 orang delegasi dari Navoi State University (NSU), Uzbekistan.
Delegasi yang diketuai oleh Naib Canselor NSU, Prof. Dr. Narzikulova Dilnoza Khoshimjonovna itu turut disertai oleh ketua jabatan serta pensyarah pelbagai disiplin pengajian dari universiti berkenaan.
Kunjungan delegasi Navoi State University (NSU), Uzbekistan ke UUM adalah sebagai sebahagian daripada penyertaan mereka dalam Program Collaborative Network for Educator Capacity and Teaching Transformation (CONNECT), sebuah inisiatif program pembangunan profesional yang diterajui oleh Prof. Madya Dr. Hasniza Nordin melalui Future Learning and Development Competence Centre (FLanDeCC), Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), UUM.
Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, dalam ucapan alu-aluan semasa perjumpaan bersama delegasi tersebut menyatakan komitmen penuh universiti dalam memperluas jaringan kolaborasi pendidikan bertaraf antarabangsa.
Sementara Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohd Khairi Othman dalam ucapannya menegaskan bahawa program CONNECT berupaya menjadi jambatan kerjasama yang signifikan antara UUM dan NSU serta universiti-universiti lain di Uzbekistan.
“Program ini membuka peluang yang lebih luas untuk kita meneroka potensi kolaborasi penyelidikan dan pembangunan akademik.
“Perbezaan budaya dan bahasa bukanlah penghalang untuk kita berkongsi ilmu dan membina rangkaian pendidikan yang kukuh di peringkat global,” katanya.
Program CONNECT menawarkan tujuh modul pembelajaran yang dijalankan secara gabungan bersemuka dan dalam talian. Keseluruhan program melibatkan 144 jam latihan yang disusun bagi memenuhi keperluan pembangunan profesional pensyarah NSU.
Naib Canselor NSU, Prof. Dr. Narzikulova Dilnoza Khoshimjonovna menyatakan penghargaan atas penganjuran program yang berkualiti tinggi ini.
“Kami amat berterima kasih kepada FLanDeCC dan Pusat Pengajian Pendidikan UUM yang telah menganjurkan program berimpak tinggi ini.
“Melalui program CONNECT, para pensyarah NSU bukan sahaja dapat meningkatkan kemahiran pengajaran, malah mendapat pendedahan baharu tentang proses kawalan kualiti dan standard program pengajian,” katanya.
Program sebegini membuktikan komitmen UUM dalam memperkukuh jaringan akademik antarabangsa. – Prof Madya Dr. Mohd Fairuz Jafar