Education

RoadBloom perkasa kesedaran keselamatan jalan raya dalam kalangan murid SK Bukit Tampoi

Gambar Pelajar Kursus BJTLK3033

KUALA NERANG, 10 Julai 2025: Sekumpulan pelajar dari Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan program komuniti bertajuk RoadBloom: Safe for the Future yang bertujuan untuk memupuk kesedaran awal berkaitan keselamatan jalan raya dalam kalangan murid-murid Sekolah Kebangsaan Bukit Tampoi, Kuala Nerang.

Program ini dilaksanakan berikutan kedudukan sekolah yang terletak berdekatan jalan raya utama yang sering menjadi laluan kenderaan berat, dan turut direkodkan pernah berlaku kes kemalangan melibatkan pelajar sekolah tersebut.

RoadBloom merupakan inisiatif di bawah program Service Learning Malaysia – University for Society (SULAM) yang merupakan sebahagian daripada pengajaran kursus BJTLK3033 Urban and Rural (Group B) dari Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML), UUM.

Program ini telah dijalankan dengan bimbingan pensyarah kursus, Dr. Nooraini Ismail, serta melibatkan seramai 27 pelajar UUM yang bertindak sebagai fasilitator.

Pengarah program, Amirul Asrah Zuraidi berkata, penganjuran RoadBloom bertujuan menyampaikan mesej keselamatan jalan raya kepada golongan kanak-kanak melalui pendekatan yang menyeronokkan dan mudah difahami.

Menurutnya, antara pendekatan yang digunakan termasuk aktiviti berbentuk treasure hunt keselamatan jalan raya, kuiz interaktif, demonstrasi praktikal dan ceramah dari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Katanya, aktiviti-aktiviti ini memberi peluang kepada mereka untuk memahami kaedah melintas jalan yang selamat, kepentingan memakai topi keledar, serta menghindari penggunaan gajet ketika berada di jalan raya.

Program ini turut menerima sokongan dan kerjasama daripada Jabatan Pengangkutan Jalan Raya (JPJ) Kedah dan pihak sekolah.

Penolong Pegawai Penguatkuasa, Yaseri Jusoh dan Penolong Pegawai Penguatkuasa, Nurul Rusma Yusuf telah menyampaikan ceramah dengan penuh manfaat serta demonstrasi keselamatan, termasuk penggunaan isyarat tangan, pemakaian jaket keselamatan berlampu dan pengurusan kecemasan asas serta menyediakan hadiah seperti topi keledar kepada beberapa murid di sekolah tersebut.

Sementara itu, Guru Besar SK Bukit Tampoi, Abdul Aziz Ahmad menzahirkan penghargaan kepada UUM atas inisiatif murni ini yang sangat bermanfaat untuk murid-murid, terutamanya yang berulang alik ke sekolah sendiri dengan berjalan kaki atau menaiki motosikal dengan ibu bapa masing-masing.

Bagi pelajar UUM yang terlibat, program ini menjadi satu platform pembelajaran bermakna dalam memahami isu keselamatan jalan raya di kawasan bandar dan luar bandar.

Menerusi pelaksanaan program ini, pelajar berpeluang menerapkan teori berkaitan pengangkutan dan keselamatan yang dipelajari dalam kursus Urban and Rural Transportation secara langsung dalam komuniti sebenar. Mereka terlibat dalam merangka strategi pendekatan pendidikan keselamatan jalan raya yang sesuai untuk murid sekolah rendah, menyusun atur aktiviti berbentuk interaktif, dan menilai keberkesanan kaedah penyampaian maklumat kepada khalayak muda.

Pensyarah kursus, Dr. Nooraini menegaskan bahawa pengalaman sebegini amat penting dalam membina kemahiran insaniah pelajar, terutamanya dalam aspek komunikasi berkesan, empati sosial, kerja berpasukan, dan kepimpinan yang diperlukan dalam kerjaya berkaitan pengangkutan dan perancangan bandar kelak.

Katanya, dengan menyasarkan golongan murid sekolah rendah, program ini secara langsung memberi impak terhadap keselamatan komuniti setempat serta memperkukuh peranan universiti dalam menyumbang kepada kesejahteraan sosial.

RoadBloom membuktikan bahawa penglibatan aktif pelajar dalam aktiviti berbentuk servis komuniti mampu mewujudkan pengalaman pembelajaran bermakna yang menggabungkan ilmu teori, amalan praktikal dan tanggungjawab sosial.

Melalui penganjuran program ini, pelajar bukan sahaja menjadi agen perubahan dalam masyarakat, malah turut mencerminkan misi UUM dalam melahirkan graduan yang holistik, seimbang dan berdaya saing di peringkat global. – Amirul Asrah Zuraidi

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button