Team building berhasil merapatkan ukhuwah warga IBS
Gambar Muhamad Syamsul Akmal Mohd Nasir
LANGKAWI, 13 Julai 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menganjurkan Bengkel Pemerkasaan Kepimpinan dan Pemantapan Hala Tuju IBS bermula 3 hingga 5 Julai lalu di De Baron Resort, Langkawi.
Bengkel ini merangkumi dua fokus utama iaitu Team building dan Kursus Kepimpinan dan Hala Tuju IBS dengan masing-masing empat sesi setiap slot. Slot Team building telah dikendalikan oleh pasukan profesional iaitu Team Titan Pro iaitu sebuah konsultan latihan bertauliah yang berpengalaman.
Slot Team building dimulakan dengan aktiviti luar yang membentuk semangat kebersamaan iaitu modul pertama bertajuk “We Are One” dimulakan dengan sesi ice-breaking “I Am VIP” yang merangkumi aktiviti seperti 4S (Senyum, Sapa, Salam, Sayang), pembentukan kumpulan secara rawak, pelantikan ketua kumpulan, pembentukan slogan semangat (war cry) dan penciptaan bendera serta sorakan kumpulan.
Modul kedua bertajuk “Building High Performing Team” menyaksikan peserta diuji melalui pelbagai aktiviti yang menuntut komunikasi efektif dan kerjasama strategik. Antara yang paling mencabar ialah “Scavenger Hunt” di sekitar Taman Lagenda Langkawi, yang menguji kecekapan dan kerjasama peserta dalam mengikuti arahan, menyusun strategi serta memberi tumpuan terhadap arahan ketua kumpulan bagi menyempurnakan tugasan yang diberi.
Modul ketiga team building diteruskan pada hari kedua bengkel bertempat di Dewan De Baron 6. Aktiviti kali ini dinamakan Team Achiever Challenges yang memfokuskan kekuatan mental dan fizikal dengan masih mengutamakan kerjasama berpasukan untuk menyelesaikan cabaran ditetapkan.
Modul terakhir team building merangkumi aktiviti Building High Performing Culture, Energizer, Race Against Time dan Zombie Kg. Banana yang menerapkan nilai saling percaya dan berhati-hati dalam membuat keputusan dan tidak mudah berprasangka dengan rakan sekerja.
Peserta bengkel, Junaidah Ismail yang merupakan staf pentadbiran IBS berkata, bengkel kali ini tidak sekadar menguji fizikal tetapi mental peserta juga.
“Tugasan dan permainan yang diterapkan menarik dan lain dari yang lain, kita boleh kenal lebih mendalam karakter rakan sekerja di IBS,” katanya.
Pensyarah kanan IBS, Prof. Madya Dr. Muhammad Noor Habibi Long pula berkata, “Selama saya berkhidmat di UUM, ini kali pertama saya menyertai program team building seumpama ini, sangat menarik walaupun sedikit letih.
“Saya puji team Titan Pro yang berjaya kendalikan program ini dengan baik dan berkesan tanpa pelanggaran syariat,” katanya.
Dekan IBS, Prof. Madya Dr. Selamah Maamor dalam ucapannya mengucapkan terima kasih kepada pasukan Titan Pro kerana telah menyediakan modul aktiviti yang berjaya mengukuhkan lagi ukhuwah warga IBS.
“Selain itu, terima kasih juga atas komitmen semua peserta yang positif dalam menyertai semua aktiviti dan permainan yang disediakan,” katanya.
Beliau menyifatkan program teambuilding ini sebagai berjaya mencapai objektif yang digariskan kerana kerjasama dan penyertaan bersungguh semua warga IBS dengan bimbingan team Titan Pro. – Siti Rasyidah Hassan