Pensyarah SOE tekan kepentingan latihan TVET di Simposium TVET Sabah
Berita dan gambar Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad
KOTA KINABALU, 13 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berkongsi kepakaran khusus dalam bidang Pendidikan dan Latihan Teknikal & Vokasional (TVET) apabila pensyarah Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Prof. Madya Ts. Dr. Shanusi Ahmad telah dijemput sebagai penceramah utama dalam Sabah TVET Sympossium 2.0.
Jemputan ini merupakan pengiktirafan terhadap kepakaran pensyarah UUM dalam bidang TVET dan pembangunan modal insan.
Persidangan tersebut yang berlangsung di Hotel Magellan Sutera Harbour Kota Kinabalu bermula 9 dan 10 Julai lalu telah menghimpunkan warga akademik, penyelidik, dan pemimpin industri dari seluruh Malaysia bagi membincangkan pelbagai perkara berkaitan TVET.
Dr. Shanusi telah menyampaikan ucap tama yang bertajuk “Buiding Skill For Industries Through TVET initiatives” yang menekankan kepentingan latihan TVET dalam melahirkan tenaga kerja yang berdaya saing.
Dalam perbincangan pra persidangan, Dr. Shanusi turut mengadakan pertemuan dengan beberapa peneraju industri, institusi pendidikan terkemuka di Sabah bagi tujuan meneroka peluang kerjasama dalam bentuk program kepakaran, penyelidikan bersama, serta pembangunan program latihan yang lebih holistik.
Dengan pencapaian ini, UUM terus mengorak langkah sebagai institusi pendidikan yang diiktiraf dalam bidang TVET. Kejayaan ini dijangka menjadi pemangkin kepada lebih banyak kolaborasi akademik dan industri serta memperkukuhkan jenama UUM di peringkat kebangsaan.