Program Wacana Akademik MKN-SoIS gabungkan sinergi pembuat dasar, agensi keselamatan dan akademia
Gambar Wira Syawal Abu Seman
ALOR SETAR, 15 Julai 2025: Program Wacana Akademik MKN- SoIS bertajuk “Keselamatan Sempadan & Ketahanan Nasional: Peranan Strategik Wilayah Utara dalam Mendepani Ancaman Serantau” telah berlangsung di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah, bersempena Bulan Keselamatan Negara Peringkat Negeri Kedah.
Program ini telah dirasmikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri Kedah, Dato’ Seri Norizan Khazali, yang turut menyatakan sokongan terhadap usaha memperkukuh kerjasama antara kerajaan negeri, agensi keselamatan, dan institusi pengajian tinggi dalam mendepani isu keselamatan serantau.
Dekan Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Prof. Madya Dr. Nazariah Osman berkata, objektif utama wacana ini adalah untuk membincangkan isu keselamatan sempadan antarabangsa secara menyeluruh, merangkumi perspektif pelbagai pihak termasuk kerajaan persekutuan dan negeri, agensi penguatkuasaan, ahli akademik serta mahasiswa institusi pengajian tinggi yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan negara.
Di samping itu, program ini turut memperluas kefahaman terhadap konsep Keselamatan Menyeluruh (Comprehensive Security – COMSEC) melalui slogan ‘Keselamatan Negara Tanggungjawab Bersama’ yang diangkat sebagai teras Bulan Keselamatan Negara.
Program wacana ini menampilkan gabungan panelis berpengalaman merangkumi pembuat dasar, pelaksana dasar dan pakar akademik. Antara panel yang dijemput termasuk Timbalan Pengarah Keselamatan Negara (Strategik), Majlis Keselamatan Negara, Dato’ Baharuddin Ahmad; Pengarah Maritim Negeri Kedah & Perlis, Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM), Laksamana Pertama (M) Romli Mustafa; dan Pensyarah Kanan dari Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Prof. Madya Dr. Bakri Mat.
Sesi wacana ini turut dikendalikan oleh Dr. Md Shukri Shuib selaku moderator yang memainkan peranan penting dalam mencetuskan perbincangan yang kritikal dan konstruktif.
Program ini telah mendapat sambutan yang amat menggalakkan dengan kehadiran lebih kurang 400 peserta yang terdiri daripada pegawai agensi keselamatan, pegawai pentadbiran negeri dan daerah, ahli akademik, pelajar Universiti Utara Malaysia serta pelajar Tingkatan Enam dari Sekolah Menengah Kebangsaan Changlun (SMK Changlun). Kehadiran pelbagai lapisan peserta ini membuktikan komitmen bersama dalam memperkukuh keselamatan nasional melalui kerjasama rentas sektor.
Penganjuran wacana ini adalah hasil kerjasama strategik antara Majlis Keselamatan Negara (MKN) Negeri Kedah dan SoIS, Universiti Utara Malaysia. Program ini turut disokong oleh Persatuan Pengajian Malaysia dan Antarabangsa (AIMS), sebuah pertubuhan bukan kerajaan akademik yang berpusat di Kedah.
Sinergi antara institusi pengajian tinggi, agensi keselamatan dan organisasi masyarakat sivil ini diharap dapat diteruskan bagi menjamin kelestarian keselamatan negara pada masa hadapan. – Prof. Madya Dr. Siti Darwinda Mohamed Pero