General

Pensyarah UUM ketuai penyediaan PIPBPP35

Berita dan gambar Azam Arni Mohd Noor

PULAU PINANG, 20 Julai 2025: Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan kedudukan sebagai institusi rujukan dalam penyelidikan dasar awam apabila diberi mandat untuk menerajui penyediaan Pelan Induk Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang 2026–2035 (PIPBPP35).

Majlis pelancaran rasmi pelan tersebut turut menyaksikan pelancaran dua inisiatif lain iaitu Program Tunas Madani dan pelaksanaan projek kediaman mampu milik oleh JKP Sdn. Bhd. (JKPSB). Ketiga-tiga agenda ini diumumkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Dato’ Seri Anwar Bin Ibrahim dalam satu acara yang menghimpunkan pelbagai pihak berkepentingan.

PIPBPP35 dibangunkan melalui pendekatan kolaboratif antara tiga institusi pengajian tinggi iaitu UUM, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknomogi MARA yang menggabungkan kepakaran dalam bidang keusahawan, pengurusan, ekonomi, pembangunan komuniti dan dasar awam.

Pasukan penyelidik diketuai oleh Prof. Madya Dr. Jauriyah Shamsudin dari SBM, dengan penglibatan penyelidik rentas disiplin yang berteraskan prinsip inklusiviti dan kelestarian pembangunan.

Menurutnya, pelan ini memberi fokus kepada tiga kluster utama iaitu peningkatan kesejahteraan individu dan masyarakat, penjanaan serta pengagihan semula kekayaan ekonomi, dan pembentukan ekosistem tadbir urus yang responsif.

Katanya, pendekatan strategik ini dibina berdasarkan dapatan kajian lapangan, sesi libat urus bersama komuniti setempat dan analisis dasar yang menyeluruh.

Sebagai pengiktirafan kepada kerjasama akademik yang diberikan, tokoh utama institusi pengajian tinggi yang terlibat menerima simbol penghargaan daripada Perdana Menteri di mana UUM telah diawakili Naib Canselor, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.

SBM merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Majlis Pembangunan Bumiputera Pulau Pinang serta Bahagian Penyelarasan Penyertaan Bumiputera Pulau Pinang atas mandat dan kepercayaan yang diberikan. Peranan ini membuktikan bahawa institusi akademik bukan sekadar penerbit ilmu, tetapi rakan strategik dalam pembangunan dasar negara.

SBM akan terus memanfaatkan kepakaran dan penyelidik di pusat pengajian dalam menjayakan agenda kebangsaan melalui penyelidikan dasar, pembangunan komuniti dan penghasilan pelan tindakan berimpak tinggi.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button