Pendidikan Asasi diperkasa, Majlis Dekan/Pengarah Asasi UA bersidang di UIAM
Gambar Anis Athirah Aisyah Ahmad
GAMBANG, 31 Julai 2025: Mesyuarat Majlis Dekan/Pengarah Asasi Universiti Awam (MDPA) Kali Ke-36 telah berlangsung pada 28 Julai lalu di Pusat Asasi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Kampus Gambang, Pahang.
Pusat Asasi UIAM selaku tuan rumah bagi mesyuarat kali ini telah memberikan komitmen tinggi dalam memastikan kelancaran penganjuran mesyuarat berprestij ini.
Mesyuarat telah dipengerusikan oleh Pengerusi MDPA, Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman yang juga Pengarah Pusat Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM).
Mesyuarat ini merupakan mesyuarat berkala yang diadakan empat kali setahun, dan pelaksanaannya dilaksanakan secara penggiliran antara Pusat Asasi Universiti Awam yang menjadi tuan rumah.
Dr. Muhammad Fuad berkata, mesyuarat ini bertujuan untuk merapatkan hubungan silaturahim dan mengukuhkan jaringan profesional dalam kalangan ahli MDPA serta delegasi yang hadir.
Menurutnya, mesyuarat kali ini turut memberi penekanan terhadap hala tuju MDPA dalam memperkukuh integrasi program asasi sebagai laluan akademik yang mampan, inklusif dan responsif terhadap keperluan semasa pendidikan tinggi negara.
“MDPA terus komited dalam memperkasa pendidikan prauniversiti melalui pengukuhan kurikulum, penganjuran aktiviti holistik serta pembangunan bahan ilmiah yang menyokong pencapaian akademik dan pembentukan sahsiah pelajar,” katanya.
Antara agenda utama mesyuarat termasuk pembentangan laporan dan kertas kerja berkaitan aktiviti tahunan MDPA seperti pertandingan Inter Asasi yang menjadi wadah penglibatan pelajar serta pembangunan potensi diri mereka.
Empat pertandingan inter asasi tahun 2026 telah dibentangkan iaitu Pertandingan Debat Antara Asasi (PeDAA), Festival Pantun Antara Asasi (FANTASI), Kejohanan Sukan Asasi Malaysia (SAM) dan Pertandingan Inovasi Antara Asasi Malaysia (PITRAM).
Selain itu, mesyuarat turut membincangkan penerbitan Buletin Asasi sebagai medium perkongsian strategik antara pusat-pusat asasi universiti awam.
Di samping itu, tumpuan turut diberikan kepada perancangan dan penghasilan Modul STEM terbitan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) yang dijangka dapat memperkukuh lagi proses pengajaran dan pembelajaran dalam bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik di peringkat asasi.
Turut hadir mesyuarat ialah Pengarah Pusat Asasi Pertahanan, Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), Prof. Ts. Dr. Norhana Abdul Halim; Pengarah Pusat Asasi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Prof. Dr. Zulkhairi Amom, dan ahli-ahli Majlis Dekan/ Pengarah Asasi Universiti Awam. – Nur Diyana Othman