Program MyFuture@U: Eksplorasi dunia universiti buka mata pelajar sekolah tentang dunia pendidikan tinggi
Gambar Intan Elliza Azihan Mustafa
SINTOK, 31 Julai 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Persatuan Pengurusan Pendidikan (PENDIDIK) UUM telah menganjurkan program berimpak tinggi ‘MyFuture@U: Eksplorasi Dunia Universiti’ yang berlangsung di Dewan Kuliah Gugusan 6/8, UUM.
Program yang julung kali diadakan ini bertujuan memberikan pendedahan awal kepada pelajar sekolah menengah mengenai kehidupan kampus serta pilihan jurusan pengajian tinggi, khususnya dalam bidang pengurusan.
Seramai 80 pelajar Tingkatan 4 dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Sultanah Asma dan Kolej Sultan Abdul Hamid, Alor Setar, telah dijemput khas untuk menyertai program ini dan diberi peluang untuk merasai sendiri suasana pembelajaran di persekitaran universiti.
Antara pengisian utama yang mencuri tumpuan ialah sesi taklimat mengenai program Asasi Pengurusan yang ditawarkan oleh UUM, disampaikan oleh pensyarah dari Pusat Asasi Pengurusan, Sarah Abdul Hadi. Dalam sesi tersebut, pelajar diberi penerangan terperinci mengenai struktur program, kelebihan mengikuti pengajian di UUM, serta pelbagai peluang kerjaya yang menanti dalam bidang pengurusan.
Sarah turut menekankan keunikan pendekatan UUM yang bukan sahaja memberi penekanan terhadap pencapaian akademik, tetapi juga pembangunan sahsiah dan kemahiran insaniah yang penting dalam menghadapi cabaran dunia kerjaya masa kini.
Pengarah Program, Amalia Amni Muhamad Nizam yang juga Exco Komunikasi, Integrasi dan Antarabangsa PENDIDIK berkata, penganjuran program ini merupakan salah satu inisiatif untuk menjadikan UUM sebagai destinasi pendidikan pilihan utama dalam kalangan pelajar lepasan sekolah.
“Kami berharap program ini dapat membuka minda dan memberi motivasi kepada para pelajar untuk terus berusaha mencapai kecemerlangan dalam pelajaran.
“Lebih penting, kami mahu mereka mula merancang masa depan dan melihat universiti bukan lagi sebagai sesuatu yang jauh, tetapi sesuatu yang boleh dicapai dengan usaha dan tekad,” katanya.
Sepanjang program berlangsung, pelajar turut diberi peluang untuk berinteraksi secara langsung dengan pelajar UUM serta melawat beberapa lokasi penting di kampus dalam sesi “Campus Tour”. Aktiviti ini memberi gambaran yang lebih jelas dan nyata kepada pelajar tentang fasiliti dan suasana pembelajaran yang terdapat di universiti berkenaan.
Pihak PENDIDIK turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua ahli jawatankuasa pelaksana yang telah bekerja keras menjayakan program ini di mana UUM bukan sahaja memperkukuhkan jalinan hubungan dengan sekolah-sekolah menengah di negeri Kedah, tetapi juga menyemai benih aspirasi pendidikan tinggi dalam kalangan pelajar muda yang bakal menjadi pemimpin masa hadapan negara. – Amalia Amni Muhammad Nizam