Lawatan Industri RMR Food Health Industries Sdn. Bhd. perkukuhkan pemahaman praktikal peserta kursus
Berita dan gambar Nurul Syahidah Muhamad Puzi
CHANGLUN, 4 Ogos 2025: Peserta Kursus Profesional Eksekutif Halal sesi Julai 2025 anjuran Institut Pengurusan Halal (IHM), Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai lawatan industri ke RMR Food Health Industries Sdn Bhd, sebuah syarikat pemprosesan produk makanan dan minuman yang berpangkalan di Felda Batu 8, Changlun.
Pengarah IHM, Dr. Nor Aina Mhd Khotib berkata, lawatan ini merupakan salah satu pengisian dalam kursus tersebut yang bertujuan memperkukuhkan pemahaman praktikal peserta mengenai pelaksanaan sistem jaminan halal di industri sebenar.
Delegasi yang terdiri daripada peserta kursus dan pensyarah pengiring disambut mesra oleh wakil pengurusan syarikat yang menyampaikan taklimat merangkumi aspek operasi syarikat, pematuhan kepada piawaian halal Malaysia, serta cabaran dan strategi dalam mengekalkan status halal sebagai pemegang Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) sejak beberapa tahun lalu.
Pihak pengurusan dan Penyelia Halal RMR, Syazwani Abd Rashid dengan penuh komitmen berkongsi pengalaman dan amalan terbaik mereka dalam memastikan konsistensi pematuhan halal.
Antara aspek yang ditekankan ialah pentingnya latihan berterusan kepada pekerja, komunikasi efektif antara penyelia halal dan pengurusan syarikat, penyelenggaraan rekod dokumentasi yang sistematik, serta hubungan erat dengan pihak JAIN untuk memastikan sebarang perubahan garis panduan halal dapat diambil tindakan segera.
“Bila semua pihak dalam syarikat faham peranan masing-masing, lebih mudah untuk kami kekalkan pematuhan,” katanya.
Beliau juga menekankan bahawa pemantauan dalaman yang konsisten dan komitmen dari pihak pengurusan atasan merupakan kunci utama dalam menjadikan sistem halal sebagai budaya kerja dan bukan sekadar pematuhan bersifat luaran.
Lawatan ini turut memberi peluang kepada peserta meninjau secara langsung proses pengeluaran produk, amalan kebersihan, pengurusan bahan mentah, serta pelaksanaan sistem dokumentasi halal yang digunakan oleh syarikat. Ia memperkukuhkan lagi kefahaman peserta terhadap realiti pelaksanaan Sistem Kawalan Dalaman Halal (IHCS) atau dan Manual Prosedur Pensijilan Halal Malaysia Domestik 2020 dalam persekitaran industri sebenar.
Pihak IHM merakamkan penghargaan atas kesediaan RMR Food Health Industries Sdn Bhd menerima kunjungan ini dan berharap agar kerjasama sebegini dapat diteruskan demi pembangunan modal insan dalam bidang pengurusan halal yang lebih mantap dan berdaya saing.