CEO Maybank perkasa sesi perkongsian transformasi bersama penjawat UUM
Gambar Faris Luqman Marzuki
SINTOK, 4 Ogos 2025: Kumpulan Maybank memberi penekanan utama kepada aspek kemanusiaan dalam perkhidmatan kewangannya, untuk memastikan transformasi yang dilakukan bersifat holistik.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutifnya, Dato’ Sri Khairussaleh Ramli berkata, transformasi bukan hanya soal memperkenalkan teknologi baharu atau merombak sistem, sebaliknya ia turut melibatkan perubahan pemikiran, penyesuaian budaya kerja, dan pengukuhan nilai bersama.
Menurutnya, Maybank meletakkan “Humanising Financial Services” sebagai prinsip teras organisasi, dan bagaimana prinsip tersebut diterjemah ke dalam konteks kepimpinan universiti dan perkhidmatan awam.
“Apabila matlamat kita jelas dan nilai dikongsi bersama, kita bukan sahaja mencapai kejayaan operasi, tetapi turut membina kepercayaan dan impak sosial yang berkekalan.
“Selain itu, apa yang penting juga adalah pelaburan dalam modal insan di mana bakat perlu digilap secara berterusan, melalui pembelajaran sepanjang hayat, pemupukan budaya inovasi serta penyediaan ekosistem kerja yang seimbang dan sihat,” katanya dalam sesi perkongsian bersama penjawat UUM yang diadakan di EDC-UUM, hari ini.
Program yang dikendalikan oleh moderator, Dr. Diara Md. Jadi itu bertujuan memperkukuhkan pemahaman mengenai transformasi organisasi melalui pemantapan matlamat, kepimpinan berwawasan, dan pembangunan modal insan yang holistik.
Penjawat UUM termasuk dekan, pengarah pusat tanggngjawab, dan pegawai kanan universiti telah terlibat secara aktif dalam sesi interaktif yang membincangkan cabaran dan peluang dalam membina institusi yang mampan dan berfokuskan insan.
Sesi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif kerjasama strategik antara sektor korporat dan akademia dalam usaha memupuk kepimpinan yang lebih adaptif serta meletakkan modal insan sebagai teras utama kemajuan institusi.
Sebelum itu, majlis menyaksikan Khairussaleh menerima watikah pelantikan Profesor Adjung Perbankan, Pusat Pengajian Ekonomi, Kewangan dan Perbankan (SEFB) daripada Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.
Dalam ucapan alu-aluannya, Dr. Mohd Foad mengucapkan terima kasih kepada Maybank dalam kolaborasi sebegini dan menegaskan kepentingan sinergi antara dunia korporat dan akademik untuk melahirkan pemimpin masa depan yang berintegriti, berpandangan jauh dan berdaya tahan.
Menurutnya, Dato’ Sri Kamarussaleh telah dilantik sebagai profesor adjung sejak Mac lalu dan ia merupakan satu pengiktirafan kepada kepimpinan korporat, tetapi menjadi titik tolak kepada jalinan kolaborasi antara dunia akademik dan industri.
Katanya, pelantikan profesor adjung dalam kalangan tokoh besar dalam industri korporat adalah untuk mengukuhkan hubungan strategik antara universiti dan industri melalui perkongsian ilmu, pengalaman dan kerjasama profesional yang memberi manfaat kepada kedua-dua pihak.
“Justeru, pelantikan ini sangat penting kepada UUM untuk terus melangkah ke hadapan selari dengan perubahan keperluan industri terhadap graduan universiti.
“Dengan kehebatan dan pengalaman dan pencapaian beliau, UUM sangat berbangga dan bersyukur dapat menjemput beliau bukan sekadar sebagai tetamu tetapi juga sebagai rakan akademik sebagai profesor adjung perbankan,” katanya.
Sesi perkongsian ini mencerminkan aspirasi bersama antara sektor pendidikan dan korporat untuk memimpin transformasi yang bukan sahaja menyentuh struktur dan sistem, tetapi membentuk jiwa dan minda insan-insan yang mendukungnya.