UUM dan IQDAR perkasa pendidikan Al-Quran dan pedagogi masa hadapan
Berita dan gambar Muhd Zulhilmi Haron
ALOR SETAR, 5 Ogos 2025: Pusat Pengajian Pendidikan (SOE), Universiti Utara Malaysia (UUM) meneruskan agenda memperkukuhkan jaringan strategik pendidikan melalui kunjungan hormat ke Institut Al-Quran Darul Aman (IQDAR) di Ibu Pejabat IQDAR di Lebuhraya Sultanah Bahiyah.
Delegasi UUM diketuai oleh Dekan SOE, Prof. Madya Dr. Mohamad Khairi Othman dan disambut mesra oleh Pengarah IQDAR, Zamzuri Zainol Abidin bersama pengurusan kanan institut tersebut.
Hasil pertemuan ini telah merintis kepada beberapa persetujuan awal, termasuk penawaran program akademik pascasiswazah kepada pensyarah IQDAR, penganjuran kursus dan latihan berkaitan pedagogi masa hadapan serta aplikasi kecerdasan buatan (AI) dalam pengajaran al-Quran, dan pelaksanaan Bengkel Pemerkasaan Outcome-Based Education (OBE) untuk meningkatkan keberkesanan penyampaian pendidikan.
Dr. Mohamad Khairi berkata, kerjasama ini adalah usaha strategik untuk memperkasa modal insan pendidikan al-Quran yang berdaya saing, seiring dengan keperluan abad ke-21.
“Kami yakin sinergi antara UUM dan IQDAR mampu melahirkan tenaga pendidik yang bukan sahaja mahir dalam bidang mereka, tetapi juga cekap mengintegrasikan teknologi dalam pengajaran,” katanya.
Sementara itu, Zamzuri menegaskan bahawa IQDAR amat menghargai kesediaan UUM untuk berkongsi kepakaran dalam bidang pendidikan dan penyelidikan.
Menurutnya, mereka melihat inisiatif ini sebagai pemangkin kepada peningkatan kualiti tenaga akademik kami dan seterusnya memperkukuh kedudukan IQDAR sebagai pusat kecemerlangan al-Quran di peringkat nasional.
Kunjungan hormat ini menjadi langkah awal ke arah termeterainya Memorandum Persefahaman (MoU) antara UUM dan IQDAR yang bakal memformalkan kerjasama strategik dalam masa terdekat.