Ledakan minda nusantara: Bila sintok bertemu Medan
Gambar oleh Amar Danial
MEDAN, 30 Julai 2025: Delegasi Universiti Utara Malaysia (UUM) mencipta sejarah tersendiri apabila berjaya melaksanakan program Jejak Intelektual Merentas Nusantara di Universitas Dharmawangsa, Medan, Indonesia. Program yang menyatukan dua institusi pendidikan tinggi negara serumpun ini berlangsung dalam suasana penuh semangat intelektual dan silaturahim ilmiah.
Majlis dimulakan dengan ucapan Ketua Panitia Pelaksana, Suardi, SE, MM, yang menyambut baik kedatangan delegasi UUM.
“Tujuan program ini membuka ruang luas untuk pertukaran idea, khususnya dalam bidang keusahawanan dan peranan aktif mahasiswa dalam pembangunan masyarakat,” katanya.
Katanya lagi, lawatan ini diharap menjadi pencetus kepada jalinan kerjasama masa depan yang lebih kukuh antara kedua-dua universiti.
Sementara itu, Rektor Universitas Dharmawangsa, Dr. Zamakhsyari bin Hasballah Thaib, Lc, MA, merakamkan penghargaan atas kehadiran para delegasi. Beliau menegaskan pentingnya hubungan dua hala antara Malaysia dan Indonesia dalam memperkasakan pendidikan tinggi serta memperluas jaringan budaya dan akademik serantau.
“Kunjungan ini merupakan simbolik semangat Nusantara yang harus sentiasa diperkukuh,” ujarnya.
Delegasi UUM diketuai Dr. Amirrudin Malindo yang mewakili Pengetua INASIS Tradewinds, Dr. Asma Mat, serta Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan.
Dr. Amirrudin menyatakan harapan agar lawatan ini bukan sahaja memperkenalkan budaya dan pemikiran Malaysia, tetapi juga menjadi jambatan yang menghubungkan kedua-dua negara dalam pelbagai aspek, termasuk penyelidikan, pertukaran pelajar dan pembangunan keusahawanan mahasiswa.
Katanya, Program ini turut melibatkan 17 pelajar INASIS Tradewinds, UUM, yang berganding bahu bersama pelajar Universitas Dharmawangsa dalam pelbagai sesi ilmu dan perbincangan intelektual.
Kehadiran mereka memeriahkan suasana sekali gus memperkukuh jalinan persaudaraan Nusantara melalui pertukaran pandangan dan pengalaman secara langsung.
Program Jejak Intelektual Merentas Nusantara ini bukan sahaja menjadi lambang kerjasama pendidikan antara Malaysia dan Indonesia, malah memperlihatkan keazaman kedua-dua pihak membina masa depan pendidikan tinggi yang inklusif, global dan progresif. Semangat Nusantara yang disemai diharap terus berkembang menjadi jaringan kukuh antara kedua-dua universiti dalam pelbagai bidang ilmu dan pembangunan insan. – Amar Danial