Karnival Bakti Madani perkasa pelajar, erat hubungan universiti dan komuniti
Gambar Hairul Nizam Zahari
CHEMOR, 16 Ogos 2025: Karnival Bakti Madani di Kampung Ulu Chepor, Ipoh menjadi platform penting dalam usaha memperkasakan pelajar melalui pendekatan berteraskan komuniti.
Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan berkata, karnival ini bukan sekadar program, malah menghubungkan dunia akademik dengan masyarakat melalui kerjasama strategik yang harmoni.
Beliau menegaskan, proses pembelajaran sebenar tidak hanya berlaku di bilik kuliah, tetapi juga di rumah penduduk, gelanggang sukan rakyat, kursus kerohanian dan kenduri kampung.
“Terima kasih kepada Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) kerana memilih UUM sebagai universiti penyelaras bagi Karnival Bakti Madani 2025.
“Program ini adalah manifestasi semangat Malaysia Madani dalam pembangunan berasaskan nilai, empati dan keterangkuman. Penyertaan aktif komuniti Kampung Ulu Chepor membuktikan semangat kekitaan masih subur dalam masyarakat kita,” katanya pada Majlis Perasmian Karnival Bakti Madani dan Penyerahan Keluarga Angkat 2025, semalam.
Dr. Mohd Foad berkata, UUM amat menghargai sokongan KPT dan rakan strategik dalam memastikan kelangsungan program, yang juga menjadi peluang memperkenalkan UUM sebagai institusi terbuka untuk membina masa depan bersama masyarakat luar bandar.
Menurutnya, karnival ini membuktikan pelajar UUM mampu menjadi ejen perubahan yang memberi manfaat kepada masyarakat, selari dengan slogan universiti ‘Ilmu Budi Bakti’.
“Saya berharap hubungan erat antara pelajar dan keluarga angkat akan kekal dalam jangka panjang.
“Terima kasih kepada warga Kampung Ulu Chepor atas sambutan mesra dan semangat kekeluargaan yang ditunjukkan,” katanya.
Karnival anjuran bersama KPT dan UUM melalui Jabatan Hal Ehwal Pelajar yang berlangsung dari 16 hingga 18 Ogos ini menampilkan pelbagai aktiviti seperti Malam Sambutan Bulan Kemerdekaan, Aspirasi Menara Gading Madani, Pertandingan Busana Merdeka, Dapur Berapi Ulu Chepor, pameran Madani, sukan rakyat, kursus pengurusan jenazah, dan penampilan khas pendakwah terkenal, Ustaz Syamsul Debat.