Inasis Proton kukuhkan kerjasama dengan UMY
Berita dan gambar Muhamad Izzat Hanafi Nasiruddin
YOGYAKARTA, 17 Ogos 2025: Inapan Siswa (Inasis) Proton Universiti Utara Malaysia (UUM) terus mengukuhkan jalinan kerjasama antarabangsa menerusi program International Outbound Mobility: Serantau Sejahtera Misi Komuniti Lestari (SSMKL) anjuran Inasis Proton yang berlangsung di Universitas Muhammadiyah Yogyakarta (UMY) dari 11 Ogos lalu.
program edisi keempat ini dimulakan dengan Program Perkongsian Budaya dan Pendidikan yang melibatkan UMY, UUM dan Universiti Sains Malaysia (USM) yang buat julung kalinya turut melibatkan USM.
Wakil Rektor Bidang Riset, Inovasi dan Hilirisasi UMY, Dr. Supriyantiningsih, melahirkan rasa gembira dengan kesinambungan hubungan ini dan menzahirkan harapan agar kolaborasi ini dapat diperluas kepada bidang-bidang strategik lain.
Pengarah program, Nur Saffiyah Shaharuddin berkata, program ini bukan sahaja menjadi platform pertukaran ilmu, malah memperkukuhkan jaringan kerjasama antara universiti serantau.
“Pengalaman ini memberi peluang kepada pelajar untuk memahami budaya, sistem pendidikan dan cara berfikir yang berbeza, sekali gus memupuk semangat toleransi serta keterbukaan,” katanya.
Sementara itu, Penolong Pengetua Inasis Proton, Dr. Mohamed Nazreen Shahul Hamid, menyatakan bahawa pendedahan seperti ini sangat signifikan dalam membina pelajar yang holistik.
“Kita mahu pelajar bukan sekadar cemerlang akademik, tetapi juga peka terhadap kepelbagaian budaya dan mampu menjadi duta kecil Malaysia di pentas antarabangsa,” katanya.
Majlis turut diserikan dengan persembahan tarian dan nyanyian yang memperkenalkan keunikan budaya masing-masing, mencerminkan keindahan kepelbagaian yang wujud di rantau ini.
Program ini diharapkan dapat terus menjadi jambatan hubungan dan persahabatan yang erat antara institusi pengajian tinggi di Malaysia dan Indonesia.