Education

CEO Lembaga Zakat Kedah berjaya pertahankan tesis sarjana Di UUM

Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie & IBS, UUM

SINTOK, 24 Ogos 2025: Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Lembaga Zakat Negeri Kedah (LZNK), Dato’ Syeikh Zakaria Othman, berjaya mempertahankan cadangan tesis Sarjana (Islamic Business Studies) beliau di Universiti Utara Malaysia (UUM).

Berusia 58 tahun, 8 bulan dan 14 hari, beliau hampir empat tahun bertungkus lumus menyiapkan penyelidikan tersebut dengan tajuk tesis “Transformasi Organisasi Islam: Strategi dan Cabaran dalam Penstrukturan Semula Lembaga Zakat Negeri Kedah”.

Kajian beliau diselia oleh Dr. Mohd Adib Abd Muin dan Dr. Mohammad Naim Abd Halim.

Sesi viva voce pada Khamis lalu yang berlangsung di Bilik Viva Othman Yeop Abdullah Graduate School of Business (OYAGSB), UUM itu dipengerusikan oleh Prof. Madya Dr. Azizah Othman, manakala Prof. Madya Dr. Jasni Sulong dari Universiti Sains Malaysia (USM) bertindak sebagai Pemeriksa Luar dan Prof. Dr. Azizi Abu Bakar (IBS/UUM COB) sebagai Pemeriksa Dalam.

Dato’ Syeikh Zakaria dalam temu bualnya menegaskan bahawa “usia bukan penghalang” untuk sesiapa sahaja menyambung pengajian ke peringkat yang lebih tinggi.

Malah, beliau berhasrat untuk meneruskan pengajian ke peringkat Doktor Falsafah (PhD) di UUM.

“Pengalaman kerja banyak membantu saya dalam melengkapkan kajian, justeru saya memilih untuk memberi tumpuan kepada bidang zakat yang lebih dekat dengan kerjaya saya ketika ini,” katanya.

Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada pihak UUM yang sentiasa memberikan sokongan sepanjang tempoh pengajian sehingga berjaya menyiapkan penyelidikan tersebut.

Viva voce ini menjadi medan penting bagi calon membentangkan hasil penyelidikan di hadapan panel pemeriksa, sekali gus melengkapkan salah satu komponen utama dalam pengajian di peringkat sarjana di UUM.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button