UUM bersama anjur persidangan bersejarah AALA 2025: Pertama kali di Malaysia
Gambar oleh: Nur Syuhada Mohd Radzi dan Unifilm
PULAU PINANG, 25 Ogos 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) bersama Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Teknologi MARA (UiTM) Pulau Pinang berbangga menjadi tuan rumah bersama bagi Persidangan Antarabangsa Asian Association for Language Assessment (AALA 2025) ke-11.
Bertemakan “Language Assessment in the Global South”, persidangan yang berlangsung dari 23 hingga 25 Ogos 2025 di USM Pulau Pinang itu telah menghimpunkan kira-kira 200 peserta dari seluruh Asia dan antarabangsa. Detik ini dianggap bersejarah kerana buat kali pertama Malaysia menjadi tuan rumah bagi persidangan berprestij tersebut.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Akademik & Penyelidikan), Profesor Dr. Zainal Amin Ayub, yang mewakili Menteri Pendidikan Tinggi, Dato’ Seri Dr. Zambry Abdul Kadir.
Dalam ucapannya, beliau menegaskan aspirasi kementerian bahawa penilaian bahasa di Malaysia bukan sahaja perlu adil dan sah, tetapi juga inovatif, seiring dengan piawaian antarabangsa serta wawasan negara untuk kecemerlangan pendidikan.
Sepanjang tiga hari, persidangan menampilkan tokoh antarabangsa terkemuka seperti Prof. Kunnan, Prof. Atta Gebril, AP Vahid Aryadoust dan Presiden AALA, Dr. Quynh Nguyen, selain ramai lagi pakar, penyelidik dan pembentang.
Perbincangan menekankan kepentingan keaslian (authenticity) dan konteks (contextuality) dalam penilaian bahasa, khususnya dalam era Kecerdasan Buatan (AI), agar ia kekal relevan, sah dan memberi impak positif kepada pelajar.
Berkongsi pemerhatian keseluruhan, Pengerusi Bersama AALA 2025, Dr. Noor Asbahan, berkata perbincangan sepanjang persidangan itu telah mengetengahkan kepentingan amalan penilaian yang autentik dan berteraskan konteks, selain menekankan usaha memperkukuh setiap instrumen ujian yang dibangunkan.
Beliau berharap penganjuran AALA 2025 bukan sahaja dapat meningkatkan kolaborasi penyelidikan antarabangsa, malah menjadi pemangkin dalam memperkasa penilaian bahasa di Malaysia serta rantau ini.