Education

UUM terima pelajar Asasi cemerlang, kemasukan kekal kompetitif

Gambar Hairul Nizam Zahari

SINTOK, 14 Jun 2026: Seramai 265 pelajar Program Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM) diberi peluang memilih 48 program ijazah selepas menamatkan pengajian berbanding universiti lain yang menetapkan pengkhususan lebih awal.

Pengarah Pusat Asasi Pengurusan Universiti Utara Malaysia (UUM), Prof. Dr. Muhammad Fuad Othman berkata, pendekatan itu memberi ruang kepada pelajar untuk mengenal pasti minat dan kecenderungan mereka sebelum membuat keputusan penting mengenai bidang pengajian di peringkat seterusnya.

“Di UUM, bidang perakaunan merupakan antara program yang mendapat permintaan tinggi dengan purata 180 daripada 265 pelajar Asasi Pengurusan memilih perakaunan. Persaingan kemasukan sangat kompetitif.

“Semua program di UUM termasuk Pusat Asasi Pengurusan telah mendapat pengiktirafan penuh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) dan pelajar perlu melengkapkan 50 jam kredit dalam tempoh dua semester pengajian,” katanya, di sini, hari ini.

Beliau berharap pelajar baharu Program Asasi Pengurusan UUM 2026/2027 akan memberi tumpuan sepenuhnya kepada pembelajaran selain mengenal pasti minat, hala tuju akademik dan kerjaya mereka.

Ini kerana, kemudahan yang ada di UUM seperti penginapan dan pengangkutan adalah terjamin terutama penyediaan kolej kediaman kepada semua pelajar baharu selain kemudahan lain yang diperlukan mereka.

Beliau turut menjelaskan tentang pelaksanaan pembelajaran di UUM secara hibrid dengan gabungan kelas bersemuka dan dalam talian mengikut jadual ditetapkan menerusi kemudahan internet yang disediakan di kolej kediaman bagi menyokong pembelajaran pelajar.

Selain itu, pelajar Asasi juga didedahkan dengan pelbagai aktiviti kokurikulum yang bertujuan membentuk kemahiran kepimpinan dan kerja berpasukan dalam kalangan pelajar.

Jelasnya, secara keseluruhan, pelajar yang diterima masuk ke Program Asasi Pengurusan UUM merupakan pelajar cemerlang dengan pencapaian akademik yang baik, sekali gus mencerminkan proses kemasukan yang kompetitif dan standard pemilihan tinggi bagi memastikan hanya pelajar yang benar-benar layak dan berpotensi tinggi dipilih.

Menurut beliau, model pendidikan tersebut selaras dengan keperluan semasa yang menuntut pelajar lebih bersedia dan matang dalam menentukan hala tuju akademik serta kerjaya mereka.

“Melalui Program Asasi Pengurusan ini, pelajar tidak terikat kepada satu bidang khusus sejak awal. Sebaliknya, mereka diberi pendedahan menyeluruh dalam bidang pengurusan sebelum memilih program ijazah yang paling sesuai,” katanya.

Tambah beliau, pendekatan itu juga membantu mengurangkan risiko pelajar tersalah memilih jurusan, sekali gus meningkatkan kadar kejayaan dan kepuasan dalam kalangan graduan.

Selain itu, program berkenaan turut menekankan pembangunan kemahiran insaniah, pemikiran kritis serta keupayaan adaptasi yang tinggi bagi memastikan pelajar mampu bersaing dalam pasaran kerja yang semakin mencabar.

Dalam masa sama, pihak universiti turut memberi jaminan bahawa aspek kebajikan pelajar sentiasa diberi perhatian termasuk penyediaan bantuan kewangan, kemudahan laptop, baucar makanan serta food bank kepada pelajar yang memerlukan.

Inisiatif tersebut mencerminkan komitmen UUM dalam memastikan setiap pelajar mendapat peluang pendidikan yang adil dan menyeluruh tanpa mengira latar belakang ekonomi.

Program Asasi Pengurusan UUM dilihat sebagai antara laluan strategik bagi pelajar lepasan sekolah untuk melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan lebih yakin dan terarah. – Noor Zafiera Ahmad Idris

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button