Jadikan Kejohanan Golf Terbuka UUM sebagai acara yang dinantikan
Gambar Unit Foto dan Video
SINTOK, 1 September 2025: Pengerusi Lembaga Pengarah UUM Holdings Sdn. Bhd., Dato’ Mohd Zuhri Abdullah, menzahirkan harapan agar UUM Open Golf Tournament menjadi acara berprestij yang sentiasa dinanti-nantikan oleh komuniti golf tanah air.
Pada Majlis Penyampaian Hadiah UUM Open Golf Tournament 2025, beliau menegaskan bahawa penganjuran ini bukan sekadar medan persaingan, malah menjadi platform untuk mengukuhkan silaturahim antara pelajar Akademi Golf Nasional UUM dengan pemain luar, selain turut mempromosikan padang golf di Kelab Golf Sultan Sallehuddin, UUM.
“Saya berharap kejohanan hari ini menjadi titik tolak kepada penganjuran yang lebih besar dan lebih berprestij pada masa akan datang.
“Mudah-mudahan ia juga dapat menjadi acara dwi tahunan yang dinanti-nantikan, bukan sahaja oleh warga UUM malah oleh komuniti golf tanah air,” katanya.
Majlis Penyampaian Hadiah tersebut telah disempurnakan oleh Duli Yang Teramat Mulia Tengku Sarafudin Badlishah Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Raja Muda Kedah, yang turut berkenan berangkat ke kejohanan berprestij ini.
Penganjuran sulung UUM Open Golf Tournament 2025 mendapat sambutan menggalakkan daripada pelbagai lapisan pemain, sekali gus membuka ruang ke arah memperkukuh jaringan UUM dengan masyarakat melalui platform sukan berprestij.
Turut hadir, Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Ts. Mustapha Sakmud dan Naib Canselor UUM, Prof. Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan. – Kori Ariff