Piala Naib Canselor UUM 2026 perkukuh perpaduan, cungkil bakat dan semangat juang mahasiswa
Gambar oleh: Muhammad Shamsul Shafie
SINTOK, 22 Jun 2026: Kejohanan Piala Naib Canselor Universiti Utara Malaysia (UUM) 2026 melabuhkan tirainya dalam satu majlis penutupan yang berlangsung meriah di Pusat Sukan, UUM hari ini.
Majlis perasmian penutupan telah disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed yang menzahirkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam menjayakan kejohanan berkenaan serta menekankan peranan sukan sebagai medium penting dalam membentuk sahsiah, kepimpinan dan semangat kerja berpasukan dalam kalangan mahasiswa.
Kejohanan yang berlangsung dari 14 hingga 29 April 2026 itu merupakan penganjuran kali ketiga sejak diperkenalkan pada tahun 2024.

Sebanyak 16 Inapan Siswa (INASIS) telah mengambil bahagian dengan penyertaan seramai 296 atlet.
Sepanjang kejohanan berlangsung, para peserta telah bersaing dalam lima acara sukan utama iaitu bola sepak, tenpin boling, bola tampar, bola jaring dan futsal.
Pertandingan yang berlangsung dalam suasana kompetitif namun harmoni itu berjaya menyemarakkan semangat kesukanan serta memperkukuhkan hubungan silaturahim dan perpaduan antara INASIS.

Dalam ucapannya, Ahmad Martadha berkata kejohanan tersebut bukan sekadar medan untuk mencungkil bakat dan kecemerlangan sukan, malah menjadi platform terbaik dalam melahirkan mahasiswa yang seimbang dari segi intelek, sahsiah dan kecergasan fizikal.
Beliau turut menyeru warga UUM agar terus melibatkan diri secara aktif dalam pelbagai program dan aktiviti yang dianjurkan universiti bagi mengukuhkan hubungan silaturahim, meningkatkan kemahiran insaniah serta membentuk sahsiah diri yang cemerlang.

Menurut beliau, penganjuran pelbagai program dan aktiviti bukan sahaja bertujuan menyediakan platform interaksi dalam kalangan warga kampus, malah memberi peluang kepada mereka mengembangkan potensi diri melalui aktiviti berbentuk interaktif, kesukanan dan pembangunan sahsiah.
“Penyertaan aktif warga universiti dalam setiap program yang dianjurkan membuktikan komitmen tinggi terhadap usaha melahirkan graduan dan warga kampus yang seimbang dari aspek akademik, kepimpinan serta kemasyarakatan,” katanya.

Beliau turut menzahirkan rasa bangga terhadap komitmen, disiplin serta semangat juang tinggi yang dipamerkan oleh para atlet sepanjang kejohanan berlangsung dan mengucapkan tahniah kepada semua pemenang yang telah menunjukkan prestasi cemerlang.
Tambah beliau, warga universiti perlu terus mengekalkan imej sebagai individu yang bukan sahaja cemerlang dalam bidang akademik, malah turut menyerlah dalam aspek kepimpinan, kesukanan, sahsiah dan keterampilan diri.

Kejohanan Piala Naib Canselor UUM 2026 terus membuktikan komitmen universiti dalam memperkasa budaya sukan sebagai wahana pembangunan mahasiswa holistik, sekali gus mencetuskan semangat juang, memperkukuh perpaduan dan melahirkan warga kampus yang cemerlang serta berdaya saing.
Turut hadir memeriahkan majlis ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Madya Dr. Bakti Hasan Basri; Dekan Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Dr. Mazli Mutazam; Pengarah Jabatan Hal Ehwal Pelajar, Encik Muzamil Mahmud; Pengarah Pusat Sukan, Dr. Nasiruddin Haron; serta Pengerusi Majlis Pengetua Inapan Siswa (INASIS), Dr. Mohd Abidzar Zainal Abidin, Yang Dipertua MPP UUM, Muhammad Syahmi Iman Muhammad Rezal, barisan Pengetua INASIS, staf dan pelajar.



