Inasis Proton mulakan kerjasama UUM–UGJ
Berita dan gambar Ahmad Syafiqul Syamil Ahmad Hisham
CIREBON, 1 September 2025: Inapan Siswa (Inasis) Proton, Universiti Utara Malaysia (UUM) memperluaskan jalinan kerjasama serantau dengan Universitas Swadaya Gunung Jati (UGJ), Indonesia, sempena program International Outbound Mobility: Serantau Sejahtera Misi Komuniti Lestari (SSMKL).
Kerjasama ini berfokus kepada aspek akademik dan aktiviti pelajar melalui Kuliah Kerja Nyata (KKN) Antarabangsa, di samping menerapkan unsur kelestarian dalam setiap pengisian.
KKN Peringkat Antarabangsa ini adalah yang pertama kali dianjurkan oleh UGJ, UUM serta Universiti Sains Malaysia (USM), khususnya Inasis Proton dan Desasiswa Tekun yang diberikan penghormatan sebagai tetamu pertama.
Majlis Perasmian KKN Antarabangsa Tematik di UGJ yang turut disertai oleh USM di mana majlis ini telah dirasmikan oleh Rektor UGJ, Prof. Dr. Ir. H. Achmad Faqih, yang menekankan pentingnya kolaborasi antarabangsa dalam memperkukuh pendidikan dan pembangunan masyarakat.
Pengetua Inasis Proton, Dr. Mohd Abidzar Zainol Abidin berkata, kerjasama ini adalah satu langkah strategik dalam membina jaringan akademik dan memperkayakan pengalaman pelajar.
“Melalui kerjasama UUM–UGJ, kita memberi peluang kepada pelajar untuk terlibat secara langsung dengan masyarakat, memahami isu kelestarian, dan mengaplikasikan ilmu dalam konteks sebenar.
“Inilah yang akan membentuk pelajar yang bukan sahaja berpengetahuan, tetapi juga berjiwa komuniti dan berdaya saing di peringkat global,” katanya.
Kerjasama ini diharap dapat membuka ruang lebih luas untuk pelaksanaan projek-projek bersama yang menekankan inovasi, kelestarian, dan keterlibatan masyarakat di masa hadapan.