Education

UUM dan LADA perkukuh jalinan kolaborasi latihan industri pelajar dan pembangunan staf

Berita dan gambar Dr. Nuramalina Mohamad Na’in.

LANGKAWI, 17 September 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) menerusi Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) telah mengadakan kunjungan rasmi ke Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) bagi memperkukuh hubungan strategik yang sedia terjalin.

Sesi perbincangan yang berlangsung di Bahagian Sumber Manusia dan Khidmat Pengurusan, LADA itu dipengerusikan oleh Shariffah Aemee Dianna Syed Mohamed bersama barisan pengurusan iaitu Nornazlin Shamsudin, Mohd Rohaizad Abdul Razak dan Ahmad Fuad Ishak.

CUIC UUM pula diwakili oleh Dr. Zuliana Azwa Zulkifli dan Dr. Nuramalina Mohamad Na’in.

Dr. Zuliana Azwa berkata, kunjungan ini menumpukan kepada usaha memperkukuh pelaksanaan latihan industri bagi pelajar UUM di Langkawi dengan melihat potensi penempatan pelajar di pelbagai jabatan dan bahagian di bawah LADA.

Perbincangan turut menyentuh tentang peluang pelajar untuk terlibat dalam projek-projek pembangunan Langkawi yang bersifat praktikal, sekali gus memberi pendedahan kepada pengalaman kerja sebenar dalam sektor pengurusan pelancongan, ekonomi dan pembangunan komuniti setempat.

Selain itu, sesi ini turut membuka ruang kerjasama dalam pembangunan akademik dan profesional staf LADA, termasuk peluang untuk melanjutkan pengajian di UUM.

Sementara itu, Shariffah Aemee berkata, LADA berminat dan komited untuk meningkatkan tahap pendidikan dan kelayakan akademik warga kerja mereka bagi menyokong aspirasi organisasi dalam memacu pembangunan Langkawi secara mampan.

Perbincangan ini mencerminkan kesungguhan kedua-dua pihak untuk terus mengukuhkan kerjasama strategik, sejajar dengan aspirasi UUM untuk melahirkan graduan berkualiti tinggi serta menyumbang kepada pembangunan komuniti dan industri tempatan.

 

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button