Pelajar UUM wakil Dewan Muda Alternatif dalam Sesi Libat Urus Rang Undang-Undang Pendanaan Politik Negeri Kelantan
Berita dan gambar Wee Khai Nern
KELANTAN, 17 September 2025: Seorang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM), Wee Khai Nern, 24, yang sedang mengikuti pengajian dalam program Ijazah Sarjana Muda Sastera (Kepujian) Linguistik dan Teknologi Maklumat, telah diberi penghormatan untuk mewakili Dewan Muda Alternatif (DMA) dalam Sesi Libat Urus Rang Undang-Undang Pendanaan Politik Peringkat Negeri Kelantan.
Sesi ini telah dianjurkan oleh Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU), Jabatan Perdana MenteriĀ bertempat di Hotel Renai, Kota Bharu pada Julai lalu.
Sesi libat urus ini menghimpunkan lebih daripada 90 organisasi dan pihak berkepentingan dari pelbagai latar belakang, termasuk institusi kerajaan, badan profesional, pertubuhan bukan kerajaan, serta dewan-dewan perniagaan dan belia. Antara yang turut serta ialah Majlis Gabungan Belia Kelantan (MGBK), Dewan Perniagaan Islam Malaysia, Dewan Perniagaan India Kelantan, Dewan Perniagaan Cina Kelantan, serta wakil daripada pelbagai parti politik utama dan organisasi masyarakat sivil. Penyertaan Khai Nern dikategorikan di bawah Dewan Belia dan Dewan Perniagaan, melalui mandat yang dibawanya selaku wakil Dewan Muda Alternatif.
Dalam sesi tersebut, Khai Nern telah memainkan peranan aktif dengan membawa suara anak muda yang memperjuangkan tadbir urus politik yang lebih telus, adil dan berkesan.
Beliau mencadangkan agar belia diberi tempat sebagai pembuat keputusan atau penasihat dalam mana-mana agensi yang bakal ditubuhkan untuk mengawal selia pendanaan politik. Cadangan ini lahir daripada keyakinan bahawa suara anak muda perlu dilibatkan secara sistematik dan berstruktur dalam reformasi institusi negara.
Selain itu, beliau menekankan keperluan untuk mengangkat peranan belia sebagai mekanisme semak dan imbang (check and balance) terhadap ketirisan dana dan sebarang bentuk salah guna kuasa yang mungkin berlaku.
Menurutnya, generasi muda yang sarat dengan idealisme dan kejujuran mampu bertindak sebagai pengawas bebas yang efektif dalam memastikan integriti sistem politik negara terjamin.
Dalam satu lagi cadangan penting, beliau menyarankan agar usaha pemerkasaan dan pemantapan jabatan sedia ada dalam agensi diberi keutamaan berbanding penubuhan jawatankuasa baharu yang mungkin membawa kepada pembaziran sumber serta kurang berkesan dalam pelaksanaan.
Wee Khai Nern percaya bahawa belia bukan hanya pewaris masa depan, tetapi juga rakan kongsi strategik dalam pembentukan dasar hari ini. Penglibatan aktif anak muda dalam proses seperti ini adalah bukti bahawa demokrasi negara sedang berkembang ke arah yang lebih inklusif dan progresif.
Kehadiran DMA dalam sesi ini memperlihatkan kesungguhan pertubuhan tersebut untuk memastikan suara generasi muda tidak dipinggirkan, sebaliknya diarusperdanakan dalam wacana reformasi institusi.
Pihak UUM turut menzahirkan rasa bangga atas penglibatan pelajarnya dalam forum berprestij ini, yang sekali gus mencerminkan kualiti kepimpinan dan keprihatinan sosial yang tinggi dalam kalangan pelajar UUM.
Diharapkan penglibatan seperti ini dapat membuka lebih banyak ruang kepada belia di masa hadapan untuk memimpin, menyumbang dan mempengaruhi hala tuju dasar negara secara aktif dan bertanggungjawab, seiring dengan aspirasi Matlamat Pembangunan Mampan (SDG).