IPDM UUM himpun penulis universiti awam dan swasta, perkukuh ketahanan nasional mendepani arus AI
Gambar Hasnah Mohamad Hanafiah
KUALA PERLIS, 21 Mei 2026: Institut Pemikiran Tun Dr Mahathir Mohamad (IPDM), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah berjaya menganjurkan Bengkel Penulisan Bab dalam Buku yang berlangsung selama tiga hari bermula 17 hingga 19 Mei lalu di Hotel Putra Brasmana, Kuala Perlis.
Bengkel berprestij ini memberi tumpuan khusus kepada penghasilan naskhah ilmiah berimpak tinggi yang berjudul “Ketahanan Nasional Malaysia: Meningkah Arus Kecerdasan Buatan (AI)”.
Timbalan Pengarah IPDM, Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin berkata, IPDM telah memulakan inisiatif pendokumentasian pemikiran strategik melalui penerbitan buku pertama pada tahun 2025 bertajuk Ketahanan Nasional Malaysia: Mendepani Cabaran Merealisasi Harapan.

Menurutnya, naskhah ini telah dilancarkan dengan jayanya oleh pihak universiti pada 9 Oktober tahun lalu bersempena Program Festival of Ideas (FOI) @ Kedah bertempat di Dewan Mu’adzam Shah, UUM.
Katanya, kejayaan ini telah meletakkan batu asas yang kukuh kepada peranan IPDM sebagai pusat kecemerlangan pemikiran dan dasar negara.
“Menyedari kepentingan ilmu ketahanan nasional yang dinamik, IPDM telah meneruskan usaha dengan menerbitkan buku kedua bertajuk Ketahanan Nasional Malaysia: Menobat Keunggulan Menjulang Kedaulatan, pada awal tahun 2026.
“Sejajar dengan perkembangan pesat teknologi global, IPDM melihat wujudnya lompang ilmiah dalam membincangkan impak teknologi disruptif terhadap kedaulatan negara. Oleh itu, IPDM berhasrat menerbitkan buku ketiga berjudul ‘Ketahanan Nasional Malaysia: Menongkah Arus Kecerdasan Buatan (AI)’ yang bertujuan mengupas bagaimana elemen AI mempengaruhi keselamatan, ekonomi, dan sosial yang menjadi teras kepada ketahanan nasional,” katanya.
Sinergi Pelbagai Universiti Awam (UA) dan Swasta
Program ini berjaya menghimpunkan barisan akademia, felo penyelidik, dan pakar akademik daripada pelbagai Universiti Awam (UA) dan swasta dalam negara, termasuklah UUM, UiTM, UTM, dan Inti International University.

Kehadiran penyumbang bab daripada latar belakang kepakaran yang berbeza ini bertujuan untuk menggembleng idea serta memberikan naratif yang komprehensif mengenai kesiapsiagaan Malaysia mendepani gelombang AI.
Kehadiran secara bersemuka melibatkan 11 penulis, manakala yang berada secara atas talian adalah seramai 14 orang. Sepanjang tiga hari bengkel berlangsung, peserta terlibat secara intensif dalam sesi penulisan menggunakan teknik pomodoro, pemurnian draf, perbincangan kritis, dan penyelarasan kandungan.
“Kolaborasi strategik antara pelbagai UA dan US ini adalah kunci utama bagi memastikan buku ini bukan sekadar sebuah penerbitan akademik, malah bertindak sebagai rujukan dasar yang holistik buat negara,” kata Dr. Azlina.
Penganjuran bengkel ini membuktikan komitmen berterusan IPDM UUM dalam memacu wacana intelektual yang relevan dengan cabaran semasa. Buku ini dijangka bakal menawarkan perspektif segar serta solusi konkrit tentang bagaimana Malaysia boleh memanfaatkan teknologi AI tanpa mengorbankan pasak ketahanan nasional daripada sudut pandang pelbagai disiplin ilmu.
Dengan komitmen padu yang ditunjukkan oleh semua penulis, naskhah ini disasarkan untuk menemui pembaca dalam masa terdekat dan dijangka menjadi pelengkap kepada korpus ilmu pengajian strategik dan teknologi di Malaysia. – Prof. Madya Dr. Azlina Kamaruddin



