Education

UUM, NielsenIQ perkukuh potensi kolaborasi

Berita dan gambar Nabilah Suhaimi

SELANGOR, 18 Mei 2026: Pusat Kerjasama Universiti Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM), terus memperkukuh jaringan kerjasama industri menerusi lawatan strategik ke NielsenIQ (NIQ) bagi meneroka potensi kolaborasi dalam pembangunan bakat dan kolaborasi aktiviti universiti-industri berimpak tinggi.

Delegasi UUM diketuai oleh Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, bersama Dekan Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS), Prof. Madya Dr. Nerda Zura Zaibidi, dalam usaha memperluaskan hubungan strategik antara universiti dan industri, khususnya dalam bidang data analitik, pemasaran dan perniagaan antarabangsa.

Pihak NielsenIQ pula diwakili oleh Stacy Pua selaku HR Partner, Srishti Sharma (Penolong Pengarah Pembangunan Bakat), Yuriko Kesuma (HR Partner), Christopher Arumugam (HR Partner), serta dua alumni Pusat Pengajian Sains Kuantitatif (SQS) iaitu Loh Woon Pei yang merupakan Ketua Operasi Data dan Projeet Roy selaku Pakar Analisis Data Operasi.

Menurut Srishti Sharma, NielsenIQ akan menawarkan lebih kurang 20 hingga 30 tempat untuk peluang praktikum kepada pelajar yang memenuhi syarat kelayakan.

Lawatan tersebut membuka ruang perbincangan berkaitan pelbagai bentuk kerjasama termasuk latihan industri, pembangunan bakat pelajar, perkongsian kepakaran industri, penggunaan data industri dalam pengajaran dan pembelajaran, serta pembangunan program akademik yang selari dengan keperluan industri semasa.

Menurut Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam, kerjasama strategik bersama syarikat antarabangsa seperti NielsenIQ amat penting dalam memperkukuh ekosistem kolaborasi universiti-industri serta meningkatkan kebolehpasaran graduan UUM.

Hubungan erat antara universiti dan industri mampu membuka lebih banyak peluang kepada pelajar dan staf akademik untuk terlibat secara langsung dengan aplikasi dunia sebenar, khususnya dalam bidang analitik data dan perniagaan bertaraf antarabangsa, katanya.

Sementara itu, Prof Madya Dr. Nerda turut memaklumkan bahawa ramai alumni SQS kini berjaya membina kerjaya di syarikat analitik global termasuk NielsenIQ, sekali gus membuktikan kekuatan program akademik SQS dalam melahirkan graduan yang memenuhi kehendak industri. Ini turut dipersetujui oleh HR Partner NielsenIQ, Stacy Pua.

Pihak NielsenIQ turut berkongsi pandangan berkaitan tren semasa industri analitik pengguna, penggunaan data dalam membuat keputusan strategik serta keperluan kemahiran masa hadapan yang perlu dikuasai oleh graduan universiti.

Lawatan strategik ini selaras dengan aspirasi UUM untuk terus memperkukuh kerjasama universiti-industri dalam melahirkan graduan yang kompeten, relevan dan berdaya saing di peringkat global.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button