Kerjasama UUM dan OIB diperkukuhkan menerusi Projek Transformasi Changloon
Berita dan gambar Tengku Nurul Aimi Balqis Tengku Malim Busu
SUNGAI PETANI, 17 September 2025: Pusat Pengujian, Pengukuran dan Penilaian (CeTMA), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah membuat lawatan ke OIB Group, Sungai Petani pada Jumaat lalu bagi memperkukuhkan jalinan kerjasama strategik pelaksanaan Projek Transformasi Changloon (CTP) dengan inisiatif tanggungjawab sosial korporat (CSR) yang memberi fokus kepada pembangunan komuniti setempat.
Perbincangan strategik yang diadakan baru-baru ini memberi tumpuan kepada pelaksanaan program CSR yang lebih berimpak, mampan dan dekat dengan komuniti, khususnya di kawasan pembangunan OIB di Changloon.
Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Masnita Misiran@Bakun berkata, CTP menjadi platform penting dalam menghubungkan inovasi universiti dengan keperluan masyarakat.
Menurutnya, melalui projek ini, CETMA memastikan setiap inisiatif CSR yang dilaksanakan bersama OIB dapat memberi kesan nyata, bersifat tindakan (action-based) serta mampan dalam jangka panjang.
“Antara inisiatif yang dibincangkan di bawah CTP termasuk projek mural komuniti, pengurusan sisa & kitar semula, dan program pendidikan dan pembangunan sahsiah,” katanya.
Sementara itu, Pegawai ESG, OIB, Dhivyadharshini Ganesan berkata, syarikat mahu memberi tumpuan kepada komuniti di kawasan operasi mereka agar manfaat program dapat dirasai secara langsung oleh masyarakat setempat, sekali gus meningkatkan imej korporat syarikat.
Pengarah Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI), Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan pula menekankan bahawa CTP mampu menjadi wadah penting melibatkan generasi muda melalui pendekatan inovasi, teknologi digital serta pendedahan awal terhadap pendidikan keusahawanan dan kelestarian.
Hadir sama, Ketua Bahagian Budaya, Low Kok Ping; Juruaudit Dalaman, Jenine Soon Xin-Jen dan Timbalan Pengarah CeTMA, Prof. Madya Dr. Zahayu Md Yusof.