Education

Pelajar SLCP UUM sertai ASEAN Summer @NTU 2025

Berita dan gambar Abineshawary Kalarasu

SINGAPURA, 24 September 2025: Seorang pelajar daripada Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah mengharumkan nama universiti dan negara apabila terpilih menyertai ASEAN Summer @NTU 2025, program akademik berprestij anjuran Nanyang Technological University (NTU), Singapura dan VinUniversity, Hanoi, Vietnam, baru-baru ini.

Pelajar tersebut ialah Abineshawary Kalarasu, penuntut Ijazah Sarjana Muda Linguistik Gunaan dan Pentadbiran Perniagaan (BALBA) yang mengikuti Trek 1: Entrepreneurship & Innovation, iaitu trek yang menghimpunkan pelajar dari universiti terkemuka ASEAN.

Program selama 4.5 minggu itu berlangsung selama 2.5 minggu di NTU, Singapura dan 2 minggu di VinUniversity, Vietnam, dengan memberi tumpuan kepada penghasilan idea inovatif, pembangunan model perniagaan, serta strategi keusahawanan bagi menghadapi cabaran serantau dan global.

Abineshawary berkata, pengalaman tersebut amat bermakna kerana telah memperkukuhkan pengetahuan dan kemahiran praktikalnya dalam bidang keusahawanan dan inovasi.

“Sepanjang program, saya berpeluang menyertai bengkel design thinking, membangunkan prototaip perniagaan, menyertai lawatan industri serta mengambil bahagian dalam pertandingan pitching di hadapan panel pakar.

“Semua ini memberi keyakinan untuk mengaplikasikan teori akademik dalam dunia sebenar,” katanya.

Katanya, pengalaman silang budaya dengan rakan pelajar dari seluruh ASEAN dan Asia Timur telah memperkayakan perspektifnya terhadap kepelbagaian cara berfikir dalam menyelesaikan isu serantau.

Menurutnya, dia sedar bahawa inovasi bukan hanya soal mencipta produk baharu, tetapi tentang mencari penyelesaian mampan yang memberi manfaat kepada komuniti.

Penyertaan Abineshawary lebih bermakna apabila beliau menerima biasiswa penuh TF LEaRN, yang menampung kos program, tiket penerbangan, serta perbelanjaan sepanjang berada di Singapura dan Vietnam.

Dekan SLCP, Prof. Madya Dr. Mohamad Khadafi Rodfie berkata, penyertaan ini amat signifikan kerana ia selaras dengan aspirasi pusat pengajian untuk mendedahkan pelajar kepada isu-isu antarabangsa dan mengadaptasikan ilmu dari bilik kuliah ke dunia nyata.

Menurutnya, penyertaan ini menegaskan komitmen UUM dalam melahirkan graduan berdaya saing di peringkat global, berpandangan jauh, serta mampu menyumbang kepada pembangunan mampan rantau ASEAN.

Penyertaan ini sekali gus mengukuhkan reputasi UUM sebagai universiti yang sentiasa menyokong dan menggalakkan keterlibatan pelajar dalam program berimpak tinggi di peringkat antarabangsa.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button