Education

CUIC perkukuh kerjasama dengan Ibiden Malaysia, multinasional Jepun dalam industri elektronik

Berita dan gambar Siti Nazirah Jaya

PULAU PINANG, 8 Oktober 2025: Pusat Kerjasama Universiti–Industri (CUIC), Universiti Utara Malaysia (UUM) mengadakan lawatan rasmi ke Ibiden Electronics Malaysia Sdn Bhd, syarikat multinasional Jepun yang beroperasi di Simpang Ampat, baru-baru ini.

Syarikat yang mula beroperasi sejak tahun 2008 itu mempunyai lebih 1,200 staf.

Lawatan ini disertai oleh Dr. Safwan Marwin Abdul Murad (UUMCOB), Dr. Zuliana Azwa Zulkifli (UUMCOLGIS), Dr. Nuramalina Mohamad Na’in (UUMCAS) dan Mohd Maliki A. Rahman (CUIC), manakala pihak Ibiden diwakili oleh Ayman Dhamiri Zakaria dan Ivy Kho.

Dalam perbincangan, Ibiden menyatakan minat untuk menjalin Memorandum Persefahaman (MoU) bersama UUM, khususnya dalam bidang latihan industri, pembangunan staf dengan jurulatih HRDC, kursus jangka pendek melalui Disaster Management Institute (DMI UUM), serta kerjasama berkaitan Sistem Latihan Dual Nasional (SLDN).

Pihak syarikat juga menekankan keperluan graduan yang lebih bersedia dengan kemahiran insaniah, kemahiran komputer dan keyakinan diri, di samping kecekapan dalam IoT, rangkaian, perkakasan dan pengaturcaraan yang penting bagi jabatan Quality Assurance dan Quality Control.

Ayman Dhamiri berkata, pihaknya amat mengalu-alukan kolaborasi dengan UUM kerana ia bukan sahaja membantu mengisi jurang kemahiran graduan, malah memberi nilai tambah kepada latihan dalaman Ibiden.

“Kami percaya kerjasama dengan UUM akan membuka peluang yang lebih luas, sama ada melalui latihan industri, perkongsian kepakaran pensyarah, mahupun pembangunan staf dengan pensijilan yang relevan untuk industri,” katanya.

Lawatan ini turut membuka peluang kepada pelajar dan pensyarah UUM untuk mengadakan lawatan industri ke dua tapak kilang Ibiden di Pulau Pinang.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button