UUM lancar dua buku baharu sempena Festival of Ideas @ Kedah
Gambar oleh Hairul Nizam Zahari
SINTOK, 9 Oktober 2025 – Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Institut Penyelidikan Pengurusan dan Pembangunan (IPDM) dengan kerjasama UUM Press telah melancarkan dua buah buku terbaharu berjudul Ketahanan Nasional Malaysia: Mendepani Cabaran Merealisasi Harapan dan Motivasi Jiwa Untuk Musafir: Cinta dan Doa Sufi sempena Festival of Ideas @ Kedah yang berlangsung di Pentas Idea, Dewan Mu’adzam Shah, UUM.
Majlis pelancaran telah disempurnakan oleh Prof. Ts. Dr. Ariffin Abdul Mutalib, Pengarah IPDM, yang mewakili Profesor Dato’ Dr. Mohd Foad Sakdan, Naib Canselor UUM.
Dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Prof. Ts. Dr. Ariffin, Naib Canselor menzahirkan penghargaan kepada IPDM, UUM Press serta para penulis atas kejayaan menerbitkan karya ilmiah yang menyumbang besar kepada pengembangan ilmu dan wacana kebangsaan.
Menurut beliau, Ketahanan Nasional Malaysia: Mendepani Cabaran Merealisasi Harapan, yang disunting oleh Prof. Madya Dr. Nor Azlina Kamaruddin bersama 10 penulis utama lain, diterbitkan tepat pada waktunya ketika negara berdepan pelbagai cabaran kompleks termasuk geopolitik, perubahan iklim, keselamatan siber, tekanan ekonomi global dan isu perpaduan sosial. Buku tersebut menghimpunkan pandangan strategik pelbagai sarjana untuk memperkukuh daya tahan nasional dalam mendepani cabaran masa hadapan.
Sementara itu, Motivasi Jiwa Untuk Musafir: Cinta dan Doa Sufi, hasil karya Profesor Dr. Shukri Ahmad dari Pusat Pengajian Bahasa, Tamadun dan Falsafah (SLCP), mengetengahkan sisi rohani dan keinsafan diri sebagai elemen penting dalam membentuk masyarakat yang seimbang antara jasmani dan spiritual.
Dalam pada itu, Prof. Madya Dr. Nor Azlina Kamaruddin berkata penerbitan buku Ketahanan Nasional Malaysia merupakan satu usaha ilmiah untuk mengangkat wacana ketahanan negara secara holistik, merangkumi aspek politik, ekonomi, sosial, budaya dan rohani.
“Buku ini diharap menjadi sumber rujukan kepada kajian akan datang serta menjadi motivasi untuk menggerakkan pembangunan ummah. Ia memberi impak positif dalam membuka minda pembaca agar lebih cakna terhadap isu semasa berkaitan aspek ketahanan nasional termasuk keselamatan awam, ancaman media sosial, perpaduan kaum, pertahanan negara dan sebagainya,” ujar beliau.
Majlis turut diserikan dengan sesi resensi buku yang mengupas kandungan utama kedua-dua karya tersebut, diikuti dengan penyampaian cenderamata kepada para penulis dan penyumbang sebelum majlis bersurai.
Turut hadir ke majlis ialah Puan Rosma Ishak, Wakil Pengarah UUM Press; pegawai-pegawai kanan universiti, para penulis, editor, penyelidik, staf dan pelajar.