FEAS25 menyinar dengan warna kemeriahan dan semangat seni warga SCIMPA
Berita dan gambar Dr. Syamsul Hirdi Muhid
SINTOK, 21 Oktober 2025: Suasana di SCIMPA Creative Valley bertukar menjadi lautan warna, emosi dan kreativiti apabila Festival Apresiasi Seni 2025 (FEAS25) membuka tirainya dengan penuh gemilang.
Festival tahunan anjuran Pusat Pengajian Pengurusan Industri Kreatif dan Seni Persembahan (SCIMPA) ini menghimpunkan ratusan pelajar, pensyarah dan komuniti kreatif yang bersama-sama meraikan keindahan seni dalam pelbagai bentuknya.
Ketibaan tetamu kehormat disambut dengan paluan kompang yang bergema megah, diiringi tarian singa dan persembahan tarian tradisional Sabah yang menyemarakkan suasana. Setiap gerak tari, setiap paluan gendang membawa bersama makna sebuah perayaan terhadap kepelbagaian budaya dan identiti seni Malaysia.
Dekan SCIMPA, Prof. Madya Ts. Dr Adzrool Idzwan Ismail berkata, FEAS25 bukan sekadar festival tetapi ia adalah ruang untuk kita meraikan keberanian berkarya, menghargai kepelbagaian budaya, dan memupuk semangat kolaborasi dalam kalangan pelajar.
Menurutnya, setiap langkah dan idea yang lahir di sini membawa makna besar untuk masa depan seni dan industri kreatif negara.
Majlis perasmian festival disekalikan dengan peluncuran countdown sedekad SCIMPA tampil luar biasa dengan gimik pelancaran yang kreatif dan penuh simbolik, menggambarkan semangat inovasi SCIMPA yang terus menjadi pelopor dalam pendidikan pengurusan seni kreatif dan persembahan. Sorotan cahaya, warna dan bunyi menjadi bahasa seni yang menyatukan semua hadirin dalam satu jiwa apresiasi.
Festival ini turut menerima kunjungan istimewa daripada Kolej Vokasional Arau serta Universitas Negeri Padang, Indonesia, melambangkan semangat jalinan antarabangsa yang erat dan menyuburkan kerjasama kreatif merentasi sempadan. Pertukaran budaya ini bukan sekadar memperkayakan persembahan, tetapi juga mendidik nilai keterbukaan dan hormat dalam kalangan generasi muda seni.
Ketika acara kemuncak berlangsung, flashmob pelajar semester 1 mencuri perhatian seluruh penonton. Dengan iringan sorakan gemuruh dan tepukan yang berterusan, persembahan itu menutup tirai majlis perasmian FEAS25 dengan penuh emosi dan kebanggaan menjadi bukti bahawa bakat-bakat muda SCIMPA terus menyala terang, membawa masa depan seni ke arah yang lebih cemerlang.
Menutup tirai hari yang penuh bermakna, semangat dan tenaga warga SCIMPA terus bergema di SCIMPA Creative Valley, menandakan bahawa FEAS25 bukan hanya sekadar festival, tetapi satu nadi seni yang hidup, membugar dan menyatukan komuniti kreatif universiti dengan seluruh dunia.