SOG hidupkan “Excellence with Soul”
Berita dan gambar Mohd Mahadi Mohd Razani
PULAU PINANG, 21 Oktober 2025: Bengkel Pemerkasaan dan Pemantapan Jabatan Pengurusan Awam (BPM), Pusat Pengajian Kerajaan (SOG), Universiti Utara Malaysia telah berjaya diadakan di Mercure Beach Hotel, dengan tema “Menyemarak Visi, Menyusun Strategi, Menggerak Tindakan”.
Seramai 35 warga akademik dan pentadbiran telah menyertai bengkel ini yang bertujuan memperkukuh hala tuju jabatan, merancang strategi baharu serta mempererat hubungan sesama staf dalam suasana penuh semangat dan kebersamaan.
Majlis perasmian telah disempurnakan oleh Dekan SOG, Prof. Madya PMgr. Sr. Dr. Mohamad Sukeri Khalid, yang menekankan kepentingan membina jaringan strategik dan berani mencabar diri agar staf SOG bukan sahaja hebat di peringkat jabatan, tetapi turut dikenali di peringkat antarabangsa.
Beliau turut menyeru agar setiap ahli akademik memupuk budaya kerja berpasukan dan memacu kecemerlangan yang mampu membawa nama SOG ke pentas dunia.
Turut memberi suntikan inspirasi ialah Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Prof. Dr. Ahmad Martadha Mohamed, melalui perkongsian bertajuk “Tomorrow’s Challenges Need Today’s Changemakers”.
Beliau menekankan kepentingan perkongsian strategik, kolaborasi industri, penglibatan alumni dan tanggungjawab sivik sebagai asas membina kecemerlangan akademik yang berteraskan nilai kemanusiaan di bawah konsep “Excellence with Soul.”
Malam Gala turut diserikan dengan persembahan beliau menyanyikan lagu “Ku Cari Damai di Hati,” yang menambahkan keakraban antara pimpinan universiti dan warga BPM.
Bengkel ini diketuai oleh Penyelaras Program Pengurusan Awam, Mokhtafizam Mokhtar, yang memimpin sesi perbincangan berkaitan pelan strategik jabatan meliputi audit pematuhan, Outcome-Based Education (OBE), dokumentasi ISO serta perancangan aktiviti alumni.
Sesi kumpulan turut membincangkan hala tuju tiga program utama iaitu Politik dan Pentadbiran (GMGAK), Pengurusan Organisasi dan Sumber Manusia (GMGMK), serta Ekonomi dan Kewangan Awam (GMGFK). Hasilnya, satu pelan tindakan baharu dikenali sebagai “Langkah Mercure” telah dirangka bagi menyokong pelaksanaan KPI dan memperkukuh kedudukan jabatan di peringkat universiti.
Selain pengisian ilmiah, bengkel ini turut mementingkan aktiviti kesejahteraan dan kebersamaan melalui program wellness dan sukan ringan. Gala Dinner Night yang dihadiri oleh Prof. Dr. Badariah Din, Prof. Dr. Halimah Abdul Manaf serta seluruh warga BPM menjadi kemuncak acara yang memperlihatkan keharmonian, semangat kekitaan dan budaya positif dalam kalangan staf.
Pensyarah Kanan BPM SOG, Dr. Zuliana Azwa Zulkifli merangkap Penyelaras Latihan Industri UUM COLGIS, Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) berkata, bengkel ini amat bermakna dan memberi kesan mendalam kepada para peserta.
“Bengkel kali ini sangat menyeronokkan dan penuh inspirasi. Ia bukan sahaja memberi input akademik, tetapi juga dorongan motivasi, khususnya kepada pensyarah kohort C.
“Saya amat menghargai semangat berpasukan yang ditunjukkan sepanjang bengkel ini. Inilah budaya positif yang akan menggerakkan BPM ke arah lebih cemerlang,” katanya.
Secara keseluruhannya, bengkel ini berjaya mencapai matlamatnya sebagai wadah memperkukuh strategi, mempererat ukhuwah dan memperkasa semangat warga Jabatan Pengurusan Awam untuk terus melangkah dengan yakin ke arah kecemerlangan sejajar dengan visi dan aspirasi UUM.