Maybank Day 2.0 cungkil inspirasi bakat melalui Classroom Takeover di UUM
Gambar CUIC
SINTOK, 26 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjadi lokasi utama penganjuran Maybank Day 2025, sebuah program tahunan anjuran Maybank Group dengan kerjasama Pusat Kerjasama Universiti-Industri (CUIC) UUM.
Pengarah CUIC, Prof. Dr. Chandrakantan Subramaniam berkata, inisiatif ini bertujuan memperkukuh hubungan strategik universiti-industri, khususnya dalam pembangunan bakat dan pendedahan industri kepada pelajar.

Program di kampus UUM menampilkan pelbagai aktiviti, antaranya Classroom Takeover di mana sesi kuliah diambil alih oleh wakil industri Maybank untuk berkongsi pengalaman dunia sebenar, kemahiran masa hadapan serta nilai kepimpinan yang diterapkan di tempat kerja.
Antara wakil Maybank yang hadir dan terlibat termasuk Dalili Zulaikha Mohd Zahurin (Talent Attraction Analyst), Jasveer Singh Sarjit Singh (Talent Attraction Analyst), Nadhirah Shaiful Bahari (Talent Attraction Analyst), serta barisan Maybank Apprentice seperti Mikhall Mazlan, Aishah Ahmad Firdaus, Abdullah Syuffian Hassan, Nur Ulfah Norazmi, dan Akmal Hakim Amilka Nazim.

Dr. Chandrakantan berkata, melalui penglibatan ini, pelajar berpeluang mendalami prospek kerjaya dalam institusi perbankan terkemuka dan terdedah kepada nilai teras Maybank seperti integriti, kepimpinan, dan kecemerlangan.
Selain Classroom Takeover, turut diadakan pameran MEA dan aktiviti interaktif yang menerangkan peluang latihan industri serta kerjaya yang ditawarkan Maybank.
Penganjuran Maybank Day 2025 di UUM menzahirkan komitmen berterusan kedua-dua pihak dalam memacu kerjasama universiti-industri dan menyokong inisiatif kebolehpasaran graduan selaras dengan aspirasi Kementerian Pendidikan Tinggi serta agenda nasional TVET dan IR4.0. – Siti Nazirah Jaya



