Education

CEDI diberi kepercayaan BSN untuk teraju program iTEKAD MulaNiaga RM200,000

Gambar Ihsan Pejabat Komunikasi Strategik, UiTM

SHAH ALAM, 27 Oktober 2025: Universiti Utara Malaysia (UUM) melalui Institut Pembangunan Keusahawanan dan Koperasi (CEDI) telah dilantik sebagai rakan strategik Bank Simpanan Nasional (BSN) bagi pelaksanaan Program iTEKAD MulaNiaga di bawah inisiatif Kewangan Sosial Islam (Islamic Social Finance – ISF).

Pelantikan rasmi tersebut diumumkan sempena Majlis Perasmian ASEAN Youth Entrepreneurship Forum (AYEF) 2025, yang disempurnakan oleh Naib Canselor Universiti Teknologi MARA (UiTM), Prof. Dato’ Ts. Dr. Shahrin Sahib @ Sahibuddin, FASc.

Majlis turut dihadiri oleh Timbalan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi (Governan dan Pembangunan), Ahmad Rizal Adnan, serta wakil-wakil daripada institusi pengajian tinggi awam dan agensi berkaitan keusahawanan.

Dalam majlis tersebut, UUM turut menerima cek cura bernilai RM200,000 bagi tujuan pelaksanaan Program iTEKAD MulaNiaga: Bantuan Khas untuk Usahawan Dalam Mengembangkan Perniagaan. Penyerahan cek cura itu telah disampaikan oleh pihak BSN kepada Pengarah Eksekutif CEDI UUM, Prof. Madya Dr. Shazida Jan Mohd Khan.

Majlis berprestij itu turut menyaksikan Majlis Pertukaran Dokumen Memorandum Persefahaman (MoU) antara BSN dan Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi program iTEKAD, yang melibatkan tiga universiti awam iaitu UUM, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) dan Universiti Malaysia Sabah (UMS).

Dr. Shazida berkata, kerjasama ini bertujuan untuk memperkasa komuniti usahawan mikro melalui dua objektif utama, iaitu membina usahawan dan perniagaan yang lebih berdaya tahan dengan memperkukuh disiplin kewangan serta keusahawanan dalam kalangan peserta daripada segmen asnaf dan B40, di samping mewujudkan sistem kewangan yang sihat dan teguh bagi membantu usahawan menguruskan kewangan serta kredit perniagaan secara bertanggungjawab.

Melalui pelantikan ini, menurutnya, CEDI UUM bertanggungjawab melaksanakan pelbagai inisiatif pembangunan keusahawanan yang merangkumi pendidikan kewangan, khidmat nasihat kewangan dan pengurusan kredit kepada peserta program.

Katanya, program ini disasarkan kepada 30 pelajar daripada golongan B40 serta 10 komuniti setempat, dengan setiap peserta bakal menerima geran sebanyak RM5,000, menjadikan jumlah keseluruhan geran sebanyak RM200,000.

Kos latihan keusahawanan kepada peserta akan diuruskan sepenuhnya oleh BSN, manakala CEDI UUM akan menyediakan modul latihan, memantau prestasi peserta, dan mengemukakan laporan pelaksanaan kepada pihak bank sepanjang tempoh program.

Program iTEKAD MulaNiaga dijadualkan berlangsung dari Disember 2025 hingga Disember 2026, merangkumi latihan teknikal, bimbingan keusahawanan serta sokongan berterusan kepada peserta dalam memastikan keberkesanan bantuan yang disalurkan.

“Pelaksanaan program ini merupakan satu peluang besar untuk membangunkan keusahawanan berimpak tinggi dalam kalangan pelajar dan masyarakat setempat.

“Program iTEKAD MulaNiaga ini bukan sahaja memberi bantuan kewangan kepada peserta, tetapi turut menyediakan latihan, bimbingan dan pemantauan yang berstruktur. Ia selaras dengan aspirasi UUM untuk melahirkan usahawan yang berilmu, berdaya tahan dan mampu menyumbang kepada ekonomi komuniti,” katanya.

Pelantikan CEDI UUM ini bukan sahaja mengukuhkan peranan universiti dalam memperkasa keusahawanan sosial, malah menjadi bukti kepercayaan agensi kewangan negara terhadap keupayaan UUM sebagai institusi peneraju pendidikan pengurusan dan keusahawanan di rantau ini. – Akmal Ahlami Md Rozai

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button