Campus

School of Law Experts Directory perkukuh profil kepakaran undang-undang UUM

Berita dan gambar Mohd Nasiruddin Abu Ghani

SINTOK, 28 Oktober 2025: Pusat Pengajian Undang-Undang (SOL) , Universiti Utara Malaysia (UUM) terus memperkukuh kedudukannya sebagai pusat rujukan ilmu undang-undang apabila melancarkan School of Law Experts Directory, sebuah direktori kepakaran akademik yang menghimpunkan profil dan bidang penyelidikan para ahli akademiknya.

Penolong Naib Canselor merangkap Dekan Pusat Pengajian Undang-Undang, Prof. Dr. Harlida Abdul Wahab berkata, ia dibangunkan bagi memperkukuhkan jaringan penyelidikan serta memudahkan capaian pihak berkepentingan terhadap pakar undang-undang UUM dalam pelbagai bidang termasuk undang-undang alam sekitar, undang-undang perlembagaan, syariah, hak asasi manusia, undang-undang korporat, dan jenayah.

Menurutnya, School of Law Experts Directory merupakan usaha strategik untuk memudahkan capaian terhadap kepakaran akademik dan penyelidikan fakulti serta menggalakkan kolaborasi antara universiti, agensi kerajaan, industri dan masyarakat.

“Ia juga selaras dengan komitmen universiti untuk memperkukuh sumbangan ilmu dalam pembangunan dasar dan masyarakat yang beretika serta lestari,” katanya.

Pelancaran rasmi SOL Experts Directory tersebut diadakan bersempena The 13th UUM International Legal Conference 2025 (UUMILC 2025) yang berlangsung pada 22 hingga 23 Oktober lalu secara hibrid di UUM dan melalui platform Webex.

Pelancaran ini telah disaksikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC), Dato’ Iskandar Ismail, sejurus selepas beliau merasmikan pembukaan persidangan tersebut.

Pelancaran ini menandakan satu lagi pencapaian bermakna bagi Pusat Pengajian Undang-Undang yang terus berusaha memperluas impak akademik dan memperkukuh jaringan penyelidikan di peringkat nasional dan antarabangsa.

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button