Campus

Program Sarjana Geoinformatik untuk DRR dinilai MQA bagi akreditasi penuh

Gambar SOC

SINTOK, 28 Oktober 2025: Pusat Pengajian Pengkomputeran (SOC), Universiti Utara Malaysia (UUM) baru-baru ini menerima kunjungan panel penilai daripada Majlis Kelayakan Malaysia (MQA) bagi tujuan penilaian Program Sarjana Geoinformatik untuk Pengurangan Risiko Bencana [Disaster Risk Reduction (DRR)] ke arah mendapatkan akreditasi penuh.

Lawatan penilaian selama dua hari itu merupakan satu langkah penting bagi memastikan program ini mematuhi standard kualiti kebangsaan yang ditetapkan MQA sekali gus mengukuhkan reputasi akademik UUM dalam bidang geoinformatik dan pengurusan risiko bencana.

Ditawarkan sejak 2023 dengan enam pelajar yang sedang mengikuti pengajian, program ini menunjukkan perkembangan positif melalui struktur akademik yang mantap serta penekanan terhadap penerapan teknologi geoinformatik seperti Sistem Maklumat Geografi (GIS) dan Penderiaan Jauh dalam strategi pengurusan bencana moden.

Penilaian yang diketuai oleh dua pakar, Prof. Madya Sr. Dr. Khairul Nizam Tahir dan Ts. Gs. Sr. Dr. Mohd Zulkifli Mohd Yunus telah dijalankan secara menyeluruh meliputi pelbagai komponen program termasuk kurikulum, tenaga pengajar, kemudahan pembelajaran, kaedah penyampaian serta keberkesanan pelaksanaan keseluruhan program.

Dalam mesyuarat penutupan yang diadakan, panel penilai memaklumkan bahawa majoriti kriteria penilaian MQA telah dipenuhi, mencerminkan tahap kesiapsiagaan yang tinggi oleh pihak pusat pengajian.

Panel turut mengemukakan beberapa saranan penambahbaikan, khususnya dalam aspek pendokumentasian fizikal bagi memastikan semua rekod disusun dengan lebih sistematik dan selaras dengan dokumentasi digital yang telah mantap.

Program ini turut berperanan melahirkan pakar profesional dalam bidang pengurusan risiko bencana melalui pendekatan interdisipliner yang menggabungkan penggunaan data spatial, analisis kerentanan komuniti dan infrastruktur, serta perancangan bandar selamat dan operasi bantuan bencana.

Sementara itu, Timbalan Dekan (Akademik dan Antarabangsa) SOC, Prof. Madya Dr. Mazida Ahmad menyatakan bahawa sesi penilaian berjalan lancar dan pihaknya optimis program tersebut akan memperoleh akreditasi penuh dalam masa terdekat.

Beliau turut berharap program ini dapat menembusi pasaran antarabangsa melalui penglibatan pelajar luar negara dan kerjasama akademik global pada masa akan datang.

Turut hadir dalam mesyuarat penutupan ialah Pengarah Pusat Swaakreditasi, Prof. Madya Dr. Zulkiflee Daud. – Dr. Amirulikhsan Zolkafli

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button