Education

Maritim Kedah dan perlis terima kunjungan hormat SOIS

Berita dan gambar APMM

LANGKAWI, 28 Oktober 2025: Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Negeri Kedah dan Perlis telah menerima kunjungan hormat daripada Pusat Pengajian Antarabangsa (SoIS), Universiti Utara Malaysia (UUM) bagi membincangkan potensi kerjasama strategik dalam bidang keselamatan maritim, dasar luar dan pembangunan kompetensi pegawai penguat kuasa.

Kunjungan yang diketuai oleh Dekan SoIS, Prof. Madya Dr. Nazariah Osman bersama delegasi UUM seramai sembilan orang telah disambut oleh Pengarah Maritim Negeri Kedah dan Perlis, Laksamana Pertama Maritim Romli Mustafa bersama barisan pegawai dan anggota Maritim Malaysia.

Perbincangan tertumpu kepada beberapa agenda utama termasuk perkongsian ilmu berkaitan dasar keselamatan maritim serantau, potensi latihan bersama dalam bidang diplomasi maritim, analisis isu-isu keselamatan bukan tradisional serta kolaborasi penyelidikan yang menyokong keupayaan Maritim Malaysia dalam aspek predictive intelligence dan pemetaan naratif strategik.

Menurut Romli, inisiatif ini seiring dengan hasrat Maritim Malaysia untuk memperkukuh jalinan strategik bersama institusi akademik dalam mempertingkat kecekapan pegawai serta memperluas kefahaman terhadap landskap keselamatan maritim di peringkat serantau dan antarabangsa.

“Kerjasama ini bukan sahaja akan membuka ruang kepada perkongsian ilmu dan kepakaran akademik, malah turut memperkukuhkan sinergi antara agensi penguat kuasa dan institusi pendidikan tinggi dalam membina ekosistem keselamatan maritim yang lebih holistik dan berdaya tahan,” katanya.

Sementara itu, Dr. Nazariah turut menzahirkan komitmen pihak universiti untuk menyokong usaha Maritim Malaysia melalui penyelidikan bersama, seminar akademik serta program latihan yang dapat memperkukuh kompetensi strategik warga Maritim Malaysia dalam menangani isu keselamatan maritim yang semakin kompleks.

Kunjungan tersebut turut menjadi platform memperkukuh hubungan dua hala antara agensi kerajaan dan universiti tempatan, sejajar dengan aspirasi kerajaan dalam mempertingkat kolaborasi rentas sektor bagi melahirkan modal insan berpengetahuan tinggi dan berpandangan global.

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button