Transformasi perniagaan dengan AI: program eUsahawan Modular bimbing usahawan muda uum kuasai teknologi digital
Gambar oleh CEDI
SINTOK, 28 Oktober 2025: Sebanyak 80 orang pelajar Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menyertai Program eUsahawan Modular: Dari Manual ke Digital – Transformasi Perniagaan dengan AI, yang diadakan di Dewan Seminar C, Pusat Konvensyen UUM.
Program anjuran Malaysia Digital Economy Corporation (MDEC) dengan kerjasama Co-operative and Entrepreneurship Development Institute (CEDI), UUM ini bertujuan memperkasa pelajar dalam bidang keusahawanan digital dengan memanfaatkan potensi kecerdasan buatan (AI) dalam membangunkan perniagaan.

Ucapan aluan disampaikan oleh Dr. Saiful Azizi bin Ismail, Timbalan Pengarah (Bahagian Latihan dan Inkubator Pelajar), Pusat Keusahawanan dan Inovasi Korporat (CEDI).
Dalam ucapannya, beliau menegaskan bahawa kecerdasan buatan (AI) bukan sekadar alat teknologi semata-mata, sebaliknya merupakan satu keperluan penting bagi usahawan masa kini untuk kekal relevan dalam ekonomi digital yang berkembang pesat dan sentiasa berubah.
“Usahawan muda perlu melihat AI bukan sebagai pengganti manusia, tetapi sebagai pembantu pintar yang mampu meningkatkan produktiviti dan kreativiti dalam perniagaan. Program seperti ini membuka peluang kepada pelajar untuk meneroka dunia keusahawanan digital dengan perspektif baharu,” katanya.
Sepanjang sesi, peserta telah dibimbing oleh Coach Najib, yang berkongsi strategi dan teknik penggunaan AI dalam penulisan kandungan kreatif, pembangunan iklan digital, serta pembinaan jenama perniagaan secara dalam talian.

Pendekatan interaktif dan berbentuk latihan praktikal menjadikan peserta lebih mudah memahami aplikasi sebenar AI dalam dunia keusahawanan.
Turut hadir Encik Akmal Ahlami Md Rozai, Penolong Pengarah CEDI, yang mengambil kesempatan untuk menjalankan edaran survei Kajian Pelan Tindakan Keusahawanan 2020–2025, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) bagi mendapatkan maklum balas pelajar sebagai responden penting dalam pembangunan dasar keusahawanan universiti.
Program ini turut memberi nilai tambah kepada pelajar melalui penyediaan merit penyertaan serta peluang membina rangkaian bersama komuniti keusahawanan digital UUM.
Sebagai kesinambungan kepada inisiatif ini, MDEC akan meneruskan program seterusnya pada bulan November 2025 dengan penganjuran “Kursus Pemantapan Perniagaan dengan TikTok”, yang dijangka akan memberi fokus kepada strategi pemasaran digital dan penceritaan jenama (brand storytelling) melalui platform media sosial terkini. – Akmal Ahlami Md Rozai



