Lapan kes pengajaran baharu dihasilkan PKKPK dan PEKA INTAN
Berita dan gambar Nur Amirah Zakaria
SINTOK, 3 November 2025: Bengkel Penulisan Kajian Kes dan Nota Pengajaran Modul Ekonomi dan Kewangan Awam anjuran bersama Pusat Kajian Kes Pengurusan dan Kepimpinan (PKKPK), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Pusat Ekonomi dan Kewangan Awam (PEKA), Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) diteruskan dengan Siri 2 dan 3 yang berlangsung pada 30 dan 31 Oktober lalu.
Pengarah PKKPK, Prof. Madya Dr. Narentheren Kaliappen berkata, ia merupakan kesinambungan daripada bengkel pertama yang diadakan pada Mac 2025.

Menurutnya, program dua hari ini menghimpunkan pegawai PEKA INTAN yang telah menghasilkan kes pengajaran untuk membentang, menilai, dan menambah baik draf kes serta nota pengajaran yang dibangunkan dalam Siri 1.
Katanya, memimpin sesi interaktif yang menekankan prinsip authentic case writing, struktur kes berasaskan dilema, serta penjajaran objektif pembelajaran dengan hasil latihan sebenar.
“Sepanjang bengkel ini, peserta berpeluang membentangkan dan menyemak draf kes masing-masing bagi mendapatkan maklum balas serta penambahbaikan struktur dan kandungan.
“Bengkel turut menampilkan demonstrasi fasilitasi kes menggunakan kerangka SPARK yang diperkenalkan oleh PKKPK-UUM serta simulasi latihan sebenar berasaskan kes dasar Budi95: Cukupkah 300 Liter Itu? yang melatih peserta mengendalikan perbincangan dasar awam secara reflektif dan analitikal,” katanya.

Hasil daripada siri bengkel ini, sebanyak lapan kes pengajaran baharu berjaya dihasilkan di bawah empat tema utama, iaitu Dasar Fiskal dan Keseimbangan Sosioekonomi, Akauntabiliti dan Integriti dalam Sektor Awam, Perolehan Strategik dan Ketelusan Governan, serta Pelaburan Antarabangsa dan Risiko Strategik Negara.
Kesemua kes ini mencerminkan isu-isu semasa dalam tadbir urus dan pengurusan fiskal negara serta berpotensi digunakan sebagai bahan latihan berimpak tinggi bagi pegawai kerajaan.
Dr. Narentheren menegaskan bahawa kes bukan sekadar ditulis, tetapi digunakan.

Beliau menyeru peserta untuk melihat penulisan kes sebagai alat pembangunan kapasiti kepimpinan dan pembelajaran dasar awam, bukan sekadar bahan akademik.
Bengkel Siri 2 dan 3 ini turut menyaksikan penyampaian tiga Anugerah Kes Pengajaran Terbaik, sebagai pengiktirafan terhadap komitmen dan inovasi peserta dalam menghasilkan kes autentik yang relevan dan signifikan kepada latihan sektor awam.
Dengan penganjuran berterusan ini, PKKPK-UUM dan INTAN terus komited memperkukuh ekosistem penulisan dan penggunaan kes pengajaran dalam latihan sektor awam, selaras dengan aspirasi Malaysia membina penjawat awam yang berpengetahuan, berintegriti dan reflektif dalam membuat keputusan dasar.



