Campus

Lawatan akademik Institut Syariah Negeri Junjungan (ISNJ), Riau tingkat kerjasama dengan IBS UUM

Gambar Mohamad Afiq Bin Mohd Junaidi (Pelajar Pelatih STF IBS)

SINTOK, 3 November 2025: Pusat Pengajian Perniagaan Islam (IBS), Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menerima kunjungan rasmi daripada Institut Syariah Negeri Junjungan (ISNJ), Bengkalis, Indonesia dalam satu program bertujuan memperkukuhkan hubungan akademik dan jaringan kerjasama antarabangsa antara kedua-dua institusi pendidikan Islam serantau.

Kunjungan dari ISNJ diketuai oleh Rektor, Dr. Khodijah Ishak dan Ketua Program Magister Ekonomi Syariah, Dr. Zul Hendri serta pelajar ISNJ.

Pengurus Program merangkap Pengerusi Program Pascasiswazah IBS, Dr. Noraziah Che Arshad, berkata, lawatan rasmi ini merupakan sebahagian daripada inisiatif strategik IBS dalam memperluaskan kerjasama akademik, penyelidikan, dan pembangunan ilmu dalam bidang ekonomi Islam, kewangan Islam, perbankan Islam, muamalat, dan pengurusan halal, khususnya di peringkat pascasiswazah.

“Lawatan ini menjadi platform penting bagi pertukaran ilmu, pengalaman dan amalan terbaik dalam bidang pendidikan dan penyelidikan Islam antara institusi pengajian tinggi.

“Kerjasama akademik seperti ini bukan sahaja memperkukuh hubungan dua hala antara IBS dan ISNJ, tetapi turut menyumbang kepada pembangunan ekonomi Islam serantau melalui jaringan ilmiah dan budaya penyelidikan yang aktif,” katanya.

Program sehari yang berlangsung di IBS dengan pengisian antaranya sesi perbincangan Benchmarking Curriculum, yang memberi ruang kepada kedua-dua institusi bertukar pandangan mengenai reka bentuk dan pelaksanaan kurikulum pascasiswazah.

Program turut menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran Surat Hasrat (LOI) antara IBS dan ISNJ sebagai tanda komitmen rasmi dalam memperkukuh kolaborasi akademik serantau.

Seterusnya, terdapat sesi perkongsian ilmiah oleh Rektor ISNJ bertemakan “Integrasi Ekonomi Islam sebagai Penggerak Pembangunan Berkelanjutan Ekonomi Melayu di ASEAN” bersama warga IBS.

Program diteruskan dengan Kolokium Mahasiswa Pascasiswazah, yang menampilkan pembentangan penyelidikan oleh pelajar master.

Program ini juga menyokong Matlamat Pembangunan Mampan (SDG 4 – Pendidikan Berkualiti) dan (SDG 17 – Perkongsian untuk Mencapai Matlamat) melalui pelaksanaan kolaborasi strategik dalam memperkasa pendidikan tinggi Islam di peringkat ASEAN. – Dr. Noraziah Che Arshad

 

Related Articles

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button