Kelab Patriot Chapter Pahang UUM jayakan Program ‘Beyond STPM: Unlock Your Future’ bersama SMART Kuantan
Gambar Kelab Patriot Chapter Pahang
KUANTAN, 6 November 2025: Seramai 36 ahli Kelab Pahang Universiti Utara Malaysia (UUM) telah menjayakan program “Beyond STPM: Unlock Your Future” di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abdul Rahman Talib (SMART) Kuantan, baru-baru ini.
Penasihat Kelab Patriot Chapter Pahang UUM, Muhammad Iskandar Zulkarnain Muhammad Suhaimi berkata, program itu bertujuan memberi pendedahan dan motivasi kepada pelajar Tingkatan Enam mengenai hala tuju pendidikan tinggi, pilihan kerjaya dan kemahiran insaniah yang diperlukan dalam dunia sebenar selepas Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM).

Menurutnya, program ini menjadi platform terbaik untuk pelajar mengasah kemahiran kepimpinan serta menanam nilai tanggungjawab sosial dan semangat kesukarelawanan dalam diri anak muda.
“Kami berharap pelajar Tingkatan Enam SMART Kuantan akan terus bersemangat meneruskan perjuangan akademik mereka dan lebih bersedia menghadapi cabaran kehidupan selepas STPM,” katanya.
Majlis perasmian program disempurnakan oleh Setiausaha Agung Majlis Belia Negeri Pahang (MBNP), Nabil Fiqri Norazmi.
Dalam ucapannya, beliau menzahirkan penghargaan kepada pelajar UUM atas inisiatif yang dilaksanakan bagi membantu pelajar memahami potensi diri dan membuat persediaan lebih baik ke arah masa depan.
“Program seperti ini dapat membuka minda pelajar mengenai kepentingan perancangan awal dan semangat kepimpinan.
“Ia juga mencerminkan komitmen mahasiswa UUM terhadap pembangunan sahsiah dan pendidikan anak muda Pahang,” katanya.

Program turut menampilkan sesi Sembang Santai Inspirasi bersama Pegawai Akademi Pahang 1st, Pejabat Menteri Besar Pahang, Haziq Hafiz Himas, yang juga Setiausaha Majlis Belia Daerah Kuantan.
Dalam perkongsiannya, beliau menekankan kepentingan mengenal potensi diri, berani mencuba, dan membina keyakinan dalam menghadapi cabaran selepas STPM.
Selain sesi motivasi, aktiviti menarik seperti Explorace Ilmu turut diadakan bagi mencipta suasana pembelajaran yang menyeronokkan. Program diakhiri dengan sumbangan simbolic streamer kepada pihak sekolah sebagai tanda kenangan dan penghargaan daripada Kelab Patriot Chapter Pahang UUM. – Basharuh Bakar



