Gadis hilang kaki akibat kipas bot di Caribbean genggam ijazah sarjana
Gambar Mohd Fuad Hamid
SINTOK, 10 November 2025: Kisahnya pernah tular empat tahun lalu apabila kaki kanannya terputus akibat terkena kipas bot ketika menjalani latihan menyelam di Dive Division Curacao, Caribbean.
Namun, berkat semangat kental serta dorongan ibu bapa dan pensyarah, Nur Nabilah Mohd Azahar bangkit daripada kemurungan dan berjaya menamatkan pengajian di peringkat Sarjana Pengurusan Pelancongan di Universiti Utara Malaysia (UUM).

“Sepanjang 10 bulan dirawat di wad, saya mengalami kemurungan memikirkan masa depan kerana ketika itu saya baru sahaja menjalani latihan industri di peringkat sarjana muda.
“Namun, dari situlah saya berazam untuk bangkit sebagai pelajar orang kurang upaya (OKU) yang baharu dan berdikari setelah mendapat sokongan pensyarah dan rakan-rakan. Alhamdulillah, saya berjaya menamatkan pengajian dengan pencapaian CGPA 3.55,” katanya.
Nur Nabilah, atau mesra disapa Bella berkata, sepanjang tempoh pengajian di peringkat sarjana, dia masih menerima rawatan di Hospital Canselor Tuanku Muhriz UKM.

“Pada mulanya agak sukar untuk hidup berdikari sebagai pelajar OKU di Inapan Siswa Maybank tanpa ibu bapa di sisi.
“Namun, urusan saya di kampus banyak dipermudahkan oleh pihak universiti dan rakan-rakan kuliah yang sentiasa membantu,” katanya lagi.
Bella turut menzahirkan rasa syukur kerana berjaya pulih daripada kemurungan dengan sokongan berterusan daripada ibu bapa, universiti, pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Pelancongan, Hospitaliti dan Acara (STHEM) serta rakan sekelas.

Katanya, selepas pulih, dia kembali aktif dalam aktiviti menyelam, minat yang pernah hampir meragut nyawanya, malah dia juga pernah muncul dalam Majalah 3, beberapa media tempatan serta menjadi pelakon sokongan dalam sebuah filem.
Kini, Nur Nabilah berhasrat mencari pekerjaan yang sesuai dengan keupayaannya sebagai OKU dan ingin membantu individu senasib agar terus kuat menghadapi kehidupan tanpa rasa kesal.
Anak muda tabah ini menerima ijazah sarjananya yang disampaikan oleh Pro-Canselor UUM, Tunku Shazuddin Ariff Ibni Al Aminul Karim Sultan Sallehuddin, Tunku Mahkota Kedah, pada sesi ketiga Majlis Konvokesyen Ke-38 UUM yang berlangsung di Dewan Mu’adzam Shah, petang ini.



