Seminar UUM dan APTISI jadi platform kukuh hubungan strategik
Berita dan gambar Azam Arni Mohd Noor
SINTOK, 12 November 2025: Seminar Student Exchange, Comparative Study dan Colloquium yang berlangsung PADA 8 November 2025 di Dewan Seminar C, Kompleks Konvensyen UUM menjadi platform penting dalam memperkukuhkan hubungan strategik antara Pusat Pengajian Pengurusan Perniagaan (SBM), Universiti Utara Malaysia (UUM) dan Asosiasi Perguruan Tinggi Swasta Indonesia (APTISI).
Program anjuran bersama ini bertujuan memperluas jaringan kerjasama akademik, memperkukuh pelaksanaan mobiliti pelajar, selain merangsang penyelidikan perbandingan serta pertukaran pandangan ilmiah antara kedua-dua pihak.

Program kali ini melibatkan 60 penyertaan yang terdiri daripada 12 Universiti Swasta yang menjadi ahli APTISI, termasuk pemimpin akademik, pensyarah, wakil institusi serta para pelajar dari institusi berkenaan.
Ketua delegasi APTISI, Dr. Zaharuddin, SE., MM., PhD., menyampaikan ucapan penghargaan kepada pihak UUM khususnya dan SBM khasnya atas kesediaan menerima kunjungan delegasi dan komitmen untuk menjayakan penganjuran ini.
Beliau turut menegaskan bahawa kerjasama antara Malaysia dan Indonesia dalam bidang pendidikan tinggi merupakan elemen yang sangat signifikan bagi pembangunan serantau, peningkatan kualiti akademik serta pengukuhan reputasi global institusi masing-masing.

Sementara itu, Dekan SBM, Prof. Madya Dr. Shuhymee Ahmad mengalu-alukan kehadiran delegasi antarabangsa tersebut dan menzahirkan harapan agar kerjasama dua hala ini dapat diteruskan secara lebih aktif, berimpak tinggi dan berfokus kepada pelaksanaan program bersama yang lebih pelbagai pada masa hadapan.
Kedua-dua pihak sependapat bahawa rangka kerjasama yang telah wujud ini bukan sahaja perlu diteruskan, malah diperkasakan demi manfaat bersama dalam aspek pembangunan bakat, pembangunan ilmu, penyelidikan, keusahawanan serta pengantarabangsaan pendidikan tinggi rantau ini.



